12 pegawai, 29 anggota tentera darat diberhentikan kerana buli, dera

Iklan
Muhammad Hafizuddeain

RANTAU PANJANG - [DIKEMAS KINI] Tentera Darat Malaysia (TDM) telah memberhentikan 12 pegawai dan 29 anggota lain-lain pangkat yang terlibat dengan kesalahan membuli dan mendera anggota bawahan dalam tempoh lima tahun sejak 2019.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, tindakan itu memperlihatkan ketegasan pasukan dalam menangani isu tersebut.

Iklan
Iklan

"Perbuatan itu satu pengkhianatan besar kepada pasukan kerana kita menganggap setiap anggota adalah saudara, adik-beradik.

"TDM tidak akan berkompromi kepada mana-mana pihak sama ada pegawai atasan dan anggota bawahan yang didapati bersalah terlibat dengan buli," katanya.

Iklan
Muhammad Hafizuddeain (duduk, tengah) mengadakan lawatan ke kawasan operasi 8 Briged sempena Aidilfitri di Pos Tok' O, Rantau Panjang pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke kawasan operasi 8 Briged sempena Aidilfitri di Pos Tok'O sini pada Isnin.

Muhammad Hafizuddeain berkata, pihak tertinggi pasukan sentiasa memberi peringatan kepada seluruh anggota supaya tidak terlibat dengan perkara tersebut.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan beberapa pegawai dan anggota tentera didapati terlibat dalam perbuatan buli sehingga ada yang mendatangkan kecederaan kekal serta meragut nyawa.

Terbaharu, pada 26 Mac lalu seorang anggota tentera maut dipercayai akibat kecederaan dalaman selepas disyaki didera oleh anggota senior dalam kejadian di sebuah kem di Miri, awal pagi Isnin.

Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun dan berasal dari Puchong, Selangor.