SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas ketika menjala ikan di sungai berhampiran Loji Rawatan Air Sungai Linggi di sini pada Ahad.
Mangsa, Biak Za Awi, 35, dari Kuala Lumpur datang melawat adiknya yang bekerja di sini sebelum ke kawasan itu untuk menjalankan aktiviti tersebut bersama adik dan seorang lagi rakan.
Mereka ke lokasi itu sekitar jam 2 petang sebelum mangsa dikatakan tenggelam dan hilang sekitar dua jam kemudian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau, Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1, Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.20 petang sebelum sepasukan anggota BBP Rantau tiba jam 6.30 petang.
"Operasi mencari menyelamat masih diteruskan pada hari kedua membabitkan 25 anggota dari BBP Rantau dengan bantuan BBP Teluk Kemang.
"Pencarian mangsa turut mendapat bantuan daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Kemang yang melakukan pencarian di dalam air serta lokasi sekitar," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sementara itu menerusi kemas kini terbaru, Mohd Syazwan memaklumkan mayat mangsa berjaya ditemukan jam 4.55 petang di tebing sungai terletak kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi kejadian.
Ujarnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi pencarian ditamatkan pada 6 petang.