KULAI – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung satu video tular memaparkan seorang lelaki tempatan menampar seorang lelaki dipercayai warga India di sebuah pusat penjagaan haiwan di Bandar Indahpura di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya telah mengesan video berkenaan yang dimuat naik di X.
Iklan
Iklan
"Pihak polis telah menerima laporan daripada seorang pegawai kanan polis dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah pusat penjagaan haiwan di Bandar Indahpura.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau memohon bantuan orang awam untuk mengesan saksi serta suspek terlibat dalam kejadian tersebut.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri yang melanggar undang-undang serta digesa menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebelum itu, video berdurasi dua minit 16 saat tular memaparkan seorang lelaki memakai baju putih menampar lelaki yang mengenakan baju merah didakwa mencuri wang dan berlaku pertengkaran.