SUBANG JAYA - Semua pihak diminta agar tidak mempolemikkan mengenai isu seorang lelaki Islam yang solat di rumah ibadat bukan Islam susulan insiden letupan dan kebakaran di Putra Heights.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, umat Islam perlu berpandukan nasihat daripada jabatan agama mengenai pengurusan ibadah ketika bencana.
Menurutnya, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menjatuhkan hukum terhadap sesuatu perkara yang boleh menimbulkan kegusaran ramai terutama dalam aspek akidah.
"Dalam konteks hari ini iaitu bencana, saya mohon kepada semua rakyat agar melihat dari sudut tersebut, bukan cepat membuat keputusan (jatuh hukum).
"Perkara ini (solat dalam kuil) kita perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama. Sebenarnya sudah ada nasihat-nasihat yang diberikan," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini pada Isnin.
Sebelum ini, tular di media sosial gambar seorang lelaki menunaikan solat di dalam Kuil Sri Maha Kaliamman Putra Heights, Subang Jaya.
Ia susulan kejadian letupan gas di Putra Heights pada Isnin lalu hingga menjejaskan ratusan mangsa yang terpaksa dipindahkan di beberapa PPS.
Menurut laporan Ketua kuil yang dikenali sebagai Murugeswaran, pihaknya sedia membuka kawasan mereka kepada mangsa yang memerlukan tempat berteduh dan menyediakan pelbagai kemudahan asas.
Beliau berkata, pihaknya bukan sekadar memberikan ruang berteduh, tetapi juga menyediakan kemudahan seperti tempat letak kenderaan, tandas, dan ruang khas untuk penganut Islam menunaikan solat.