SHAH ALAM - Sebanyak 163 gantian dokumen berkaitan kenderaan direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan mangsa yang terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya melalui JPJ Negeri Selangor telah membuka Kaunter Bergerak JPJ Mobile bagi memudahkan mangsa kebakaran mendapatkan gantian dokumen penting berkaitan kenderaan.
"JPJ telah menawarkan perkhidmatan cetakan gantian dokumen Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC), Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Vokasional (GDL / PSV) secara percuma kepada mangsa yang terlibat.
"Gantian VOC yang diterima pihaknya sebanyak 114, gantian CDL (28), gantian LKM (17) dan gantian GDL (4)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, JPJ juga menerima sebanyak 19 permohonan untuk urusan pembaharuan CDL dan sebanyak 58 khidmat nasihat kepada mangsa kebakaran di Putra Heights berkaitan insurans kenderaan.
Tambahnya, Kaunter Bergerak JPJ Mobile telah beroperasi pada 3 April hingga 6 April lalu di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights.
"Inisiatif ini adalah untuk meringkankan beban dan memudahkan mangsa yang kehilangan dokumen kenderaan dengan menggantikan dokumen pengangkutan yang musnah atau hilang secara percuma tanpa perlu membuat laporan polis," ujarnya.
Dalam insiden pada 1 April, saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter terbakar hingga mengakibatkan kediaman dan harta benda penduduk berhampiran musnah.