Mengamuk gara-gara tukang masak letak kucai dalam 'Pad Thai'

Iklan
Polis menangkap suspek yang mengamuk di daerah Napha, Wilayah Chonburi. - Agensi

CHONBURI – Seorang lelaki berusia 32 tahun di Thailand bertindak mencederakan diri sendiri selepas mendapati hidangan mi goreng atau 'Pad Thai' yang dipesannya mengandungi kucai, meskipun dia telah meminta agar bahan itu tidak dimasukkan.

Kejadian berlaku pada pagi Sabtu lalu di Daerah Napha, Wilayah Chonburi apabila polis menerima laporan mengenai seorang lelaki yang mengamuk di sebuah kedai serbaneka.

Iklan
Iklan

Menurut laporan saluran berita tempatan Channel 7, setibanya di lokasi, polis menemui lelaki tersebut memegang pisau sepanjang 30 sentimeter dengan luka berdarah di bahagian kakinya.

Pihak penyelamat dipanggil dan mendapati mangsa mengalami luka tikaman di kaki kiri yang dipenuhi darah sebelum diberi rawatan awal dan dibawa ke Hospital Chonburi.

Iklan

Dalam soal siasat, lelaki dikenali sebagai Thakorn memberitahu dia memesan Pad Thai di sebuah restoran dan meminta agar tiada kucai dimasukkan.

Namun, apabila hidangan sampai, kucai masih terdapat dalam makanan tersebut, menyebabkan dia kecewa dan marah.

Iklan

Dia kemudian membuang makanan itu, namun peniaga terbabit tetap menuntut bayaran.

Insiden itu mencetuskan pertengkaran yang akhirnya membawa kepada tindakannya yang tidak terkawal.

Majikannya, Thanakornpoj, berkata Thakorn keluar untuk membeli makanan dan beliau tidak tahu punca reaksi ekstrem itu.

Beliau cuba menenangkan Thakorn selepas melihat lelaki itu menjerit sambil melibas pisau.

Semasa kejadian, tiada individu lain dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut. - Agensi