DONALD Trump jadi presiden lagi. Terimalah jadam pahit itu. Padan muka rakyat AS mencalonkan Trump jadi presiden AS kali kedua. Itu kehendak mereka. Jangan salahkan orang lain.
Trump menang besar kerana janjinya nak jadikan AS hebat semula (Make America Great Again). Rakyat AS selama ini kecewa dengan Biden yang tak kotakan janji.
Semasa berkempen Parti Demokrat sibukkan soal pengguguran dan hak LGBTQ dan entah apa lagi. Trump pula janji dia nak pulihkan ekonomi, bagi pekerjaan, kurangkan import, naikkan tarif import dan kembalikan kegemilangan perusahaan tempatan.
Rakyat AS nampaknya lebih percayakan dia. Hari ini dunia jadi haru biru. Dasar dagang AS akan bebankan hampir semua negara-negara di dunia, termasuk kita. Dia tak peduli pada jiran dan kawan. Kanada dan Mexico pun jadi mangsa dasar baharunya. Malaysia pun salah satu 60 buah negara yang terjejas.
Tak boleh salahkan Trump juga. Dia perlu utamakan negaranya. AS dalam keadaan muram daripada segi ekonomi. Kos pengeluaran tinggi. Banyak syarikat AS lari ke luar negara. Kemasukan barangan ke AS sampai peringkat kritikal.
Bagi Awang, tak ada gunanya lawan AS. Kita bukan Kanada yang boleh lawan tarif dengan tarif. Kita negara dagang yang besar dan banyak berdagang dengan AS.
Awang sokong dasar kita berunding dan bukan buat konfronstasi dengan AS. Cara itu lebih baik. Kita pelanduk yang jangan sampai terhimpit di tengah-tengah gajah yang berperang.