Sultan Selangor titah salur bantuan kepada semua mangsa kebakaran di Putra Heights

Iklan
Pihak pengurusan YIDE dan Majlis Agama Islam Selangor turun padang ke PPS Putra Heights. Gambar Majlis Agama Islam Selangor

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menzahirkan keprihatinan baginda terhadap nasib mangsa tragedi letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, khususnya golongan pelajar.

Sehubungan itu, menurut kenyataan Selangor Royal Office, baginda menitahkan agar pusat penempatan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights dibuka dan turut menerima mangsa bukan beragama Islam.

Iklan
Iklan

"Baginda turut menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyalurkan bantuan kepada mangsa bukan beragama Islam, dengan memberi keutamaan kepada pelajar yang terjejas.

"Untuk tujuan ini, baginda memperkenankan penggunaan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) bagi memberikan bantuan kewangan kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

Iklan

"YIDE akan menyalurkan bantuan ini kepada pelajar yang terlibat, yang kini ditempatkan di PPS Masjid Putra Heights," menurut kenyataan itu di laman Facebook Selangor Royal Office pada Jumaat.

Dalam pada itu, YIDE juga akan menjalankan proses pengesanan dan pengumpulan maklumat bagi mengenal pasti jumlah pelajar yang terjejas.

Iklan

"Bantuan yang akan disalurkan merangkumi pakaian seragam, alat tulis, buku, peralatan sekolah serta keperluan lain agar pelajar ini tidak perlu menangguhkan sesi persekolahan mereka," tambah kenyataan itu.

Pada masa yang sama, YIDE akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi menyelaras bantuan pengangkutan pergi dan balik ke sekolah kepada pelajar yang memerlukan sepanjang tempoh pemulihan tragedi ini.

Sultan Selangor menzahirkan harapan agar usaha ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa serta memastikan kebajikan rakyat terus dijaga tanpa mengira latar belakang agama.