SYAWAL bukan sekadar bulan kemenangan setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan, tetapi juga bulan yang penuh dengan keberkatan, rahmat dan peluang untuk meraih ganjaran besar daripada ALLAH SWT.
Dalam Islam, bulan ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang seharusnya dihayati dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap Muslim.
Keindahan Syawal bukan hanya pada sambutan Aidilfitri semata-mata, tetapi juga pada peluang-peluang yang terbuka luas untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT serta memperkukuh hubungan sesama manusia.
Kelebihan dan keutamaan bulan Syawal
1) Kesinambungan Ibadah Ramadan
Firman ALLAH SWT:"Dan sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu keyakinan (ajal).”(Surah Al-Hijr: 99)
Ayat ini menegaskan bahawa ibadah bukan sekadar untuk bulan tertentu, tetapi ia adalah satu perjalanan sepanjang hayat.
Oleh itu, umat Islam dianjurkan untuk berterusan menghidupkan amalan sunnah seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir dan bersedekah sebagai kesinambungan kepada latihan spiritual yang telah diperoleh sepanjang Ramadan.
2) Puasa enam hari, ganjaran sepanjang tahun
Puasa enam hari pada bulan Syawal adalah satu peluang besar yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT kepada hamba-hamba-Nya.
Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim)
Hadis ini menggambarkan betapa besarnya kelebihan puasa enam hari pada bulan Syawal. Hal ini kerana setiap kebaikan diganjarkan dengan sepuluh kali ganda pahala.
Maka, sesiapa yang berpuasa selama 30 hari pada bulan Ramadan kemudian mengikutinya dengan menambah enam hari pada Syawal, dia akan mendapat ganjaran seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.
3) Mengukuhkan silaturahim dan memperbaiki hubungan
Syawal juga adalah bulan yang memberi peluang kepada kita untuk memperkukuhkan ukhuwah Islamiah dan memulihkan hubungan yang mungkin terjejas sebelum ini.
Islam sangat menekankan hubungan kekeluargaan dan silaturahim. Mengunjungi ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dengan niat mempereratkan hubungan adalah amalan yang sangat digalakkan.
Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Selain itu, tradisi kunjung-mengunjung yang diamalkan mencerminkan nilai kasih sayang, persaudaraan serta sifat pemaaf antara satu sama lain.
ALLAH SWT berfirman: "Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Surah Ali 'Imran: 103)
Menerusi ayat ini ALLAH SWT mengingatkan kita tentang pentingnya menjaga hubungan sesama Muslim dan mengelakkan perselisihan yang boleh membawa kepada perpecahan.
Oleh itu, Syawal adalah masa terbaik untuk saling bermaafan dan merapatkan kembali hubungan kekeluargaan mahupun persaudaraan yang mungkin renggang sebelum ini.
4) Melatih jiwa untuk istiqamah dalam ibadah
Dalam pada itu, Syawal juga melatih kita untuk mengekalkan semangat ibadah yang telah dibina sepanjang Ramadan.
Rasulullah SAW bersabda: "Amalan yang paling disukai oleh ALLAH ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini mengajarkan kita bahawa lebih baik untuk melakukan amalan yang konsisten walaupun kecil daripada beribadah dalam jumlah besar tetapi tidak berterusan.
Justeru, amalan seperti qiamullail, membaca al-Quran, bersedekah dan berzikir perlu diteruskan agar kesan tarbiah Ramadan tidak hilang begitu sahaja.
Semoga kita semua dapat memanfaatkan bulan ini dengan sebaik-baiknya agar mendapat keberkatan dan rahmat daripada-NYA.
***USTAZ MUHAMMAD BADRUZZAMAN HASSAN merupakan Guru Turath Bahasa Arab, Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut, Terengganu.