Kebakaran saluran gas: LZS hulur bantuan tunai RM500 tanpa mengira status

Iklan
Beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan perumahan hangus sepenuhnya susulan insiden kebakaran melibatkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights. Foto Bernama

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil inisiatif menyalurkan bantuan awal kepada keluarga mangsa kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, yang turut menjejaskan kawasan sekitar termasuk Kampung Kuala Sungai Baru.

Sebagai langkah segera, LZS mengumumkan akan menyediakan bantuan tunai RM500 kepada setiap ketua keluarga Muslim yang terkesan tanpa mengira status asnaf.

Iklan
Iklan

"Bantuan ini bertujuan meringankan beban mereka dalam menghadapi kesukaran pasca tragedi.

"Permohonan bantuan juga dipermudahkan LZS dengan mengaktifkan portal khas untuk permohonan bantuan secara dalam talian," menurut LZS dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Mangsa boleh mengemukakan laporan polis atau pengesahan wakil pimpinan masyarakat melalui pautan https://lzspeduli.zakatselangor.com.my/kebakaranpipelinegas mulai 2 hingga 15 April.

Selain itu, Lori Zakat Selangor Sana Sini turut ditempatkan di Masjid Putra Heights sebagai kaunter perkhidmatan sementara bagi memudahkan mangsa mendapatkan bantuan tanpa perlu hadir ke cawangan LZS.

Iklan

LZS turut menyediakan bantuan susulan bagi membantu mangsa bangkit semula, termasuk bantuan baik pulih rumah, bantuan bina rumah, bantuan sewa rumah bagi asnaf yang kehilangan tempat tinggal, serta bantuan musibah bencana kebakaran untuk mangsa bukan asnaf.

"Kerjasama rapat dengan Jawatankuasa Bencana Daerah dan agensi berkaitan memastikan kebajikan mangsa, terutama dalam kalangan asnaf fakir dan miskin, terus terbela," ujarnya.

Orang ramai juga boleh menyumbang melalui CrowdZakat di pautan https://crowdzakat.zakatselangor.com.my/portal-main/campaign-details/kebakaranpetaling.

"Dana yang dikumpul akan digunakan untuk keperluan mendesak serta pemulihan jangka panjang mangsa," tambah kenyataan itu.