Pasca kebakaran paip gas: Penduduk Putra Heights dibenarkan masuk lihat keadaan rumah

Iklan
Penduduk menaiki kenderaan PDRM bagi dibawa masuk ke kediaman masing-masing di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada Jumaat.

SUBANG JAYA - Mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights dibenarkan masuk semula ke kediaman masing-masing pagi ini untuk meninjau keadaan rumah mereka selepas insiden letupan dan kebakaran besar pada Isnin lalu.

Kira-kira jam 10.20 pagi Jumaat, kumpulan penduduk yang terjejas dibawa menaiki trak polis ke lokasi kejadian dengan kawalan anggota keselamatan.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, pasukan sukarelawan Serve Selangor Team di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor turut memasuki kawasan terbabit sekitar jam 10 pagi bagi membantu kerja-kerja pembersihan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dijadual mengadakan sidang akhbar berhubung siasatan awal kejadian itu pada jam 4 petang ini di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Putra Heights.

Iklan

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam sidang media pada Khamis memaklumkan bahawa siasatan teknikal insiden dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Petronas serta agensi berkaitan.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula memberi tumpuan kepada aspek kemungkinan wujudnya unsur kecuaian atau kesalahan jenayah.

Iklan

Setakat ini, polis telah menerima 108 laporan berkaitan kejadian itu, termasuk dakwaan bahawa kerja-kerja mengorek tanah berhampiran saluran paip mungkin menjadi punca letupan.

Beberapa individu, termasuk pemaju, wakil agensi tempatan dan pihak berkaitan telah dipanggil memberi keterangan.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, seramai 1,254 mangsa daripada 308 keluarga dikenal pasti terjejas, dengan 630 orang kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS), manakala selebihnya menumpang di rumah saudara-mara.

85 rumah di Taman Harmoni, Putra Heights dibenarkan pulang bermula malam tadi secara berfasa.