Dua lelaki bergaduh selepas cermin sisi kereta bergesel

Iklan
Tangkap layar rakaman video yang tular di Facebook.

BATU PAHAT – Satu insiden pergaduhan yang berlaku di Ayer Hitam, di sini, pada petang Rabu dipercayai berpunca daripada kemalangan kecil melibatkan dua kenderaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang apabila dua kereta bergesel hingga terkena cermin sisi ketika melalui Jalan Bahagia.

Iklan
Iklan

"Kemalangan kecil itu menyebabkan kedua-dua pemandu tidak berpuas hati. Salah seorang daripadanya cuba memberhentikan kenderaan untuk berbincang tetapi pihak satu lagi enggan berhenti dan terus memandu ke kawasan rumah kedai berhampiran.

"Pertengkaran kemudian berlaku di kawasan rumah kedai tersebut, mengakibatkan pergaduhan fizikal antara kedua-dua pihak tetapi tidak melibatkan penggunaan senjata atau objek berbahaya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, menerusi rakaman video pergaduhan tular yang dimuat naik ke media sosial itu juga tidak memaparkan keseluruhan kejadian.

Tambahnya, pihak polis menerima laporan berhubung insiden itu sekitar jam 8.23 malam hari yang sama.

Iklan

"Kedua-dua individu yang terlibat hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk membantu siasatan.

"Salah seorang lelaki berusia 59 tahun mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian mulut dan pipi, manakala seorang lagi lelaki berusia 38 tahun cedera di bahagian pipi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh-gempur dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor untuk tindakan lanjut," jelasnya.