SANDAKAN – Seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang di perairan berhampiran Dewan Masyarakat Bandar Jalan Costel di sini ditemui lemas pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Mayat lelaki berusia 22 tahun itu ditemukan pada jam 10.03 malam Isnin oleh orang awam.
Mangsa merupakan sepupu kepada seorang wanita yang terjatuh ke laut bersama dua anaknya dalam kejadian sebelum ini. Lelaki itu cuba menyelamatkan mereka sebelum turut dihanyutkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui, berkata operasi SAR kini memasuki hari ketiga.
"Semalam, mangsa lemas kedua telah ditemui oleh orang awam tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.
"Hari ini, operasi SAR bermula pada jam 6.41 pagi bagi mencari satu lagi mangsa yang masih belum ditemui, dengan radius pencarian sejauh empat kilometer," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa maklumat terkini mengenai operasi akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 29 tahun bersama dua anaknya yang masing-masing berusia lima dan enam tahun terjatuh dari tebing laut. Sepupu wanita itu bertindak menyelamatkan mereka, namun dia sendiri turut dihanyutkan.
Dalam kejadian itu, kanak-kanak lelaki ditemukan lemas, manakala kakaknya masih belum ditemui setakat ini.