ALOR SETAR –"Saya berdoa bersungguh-sungguh, saya kata kalau dia hidup Alhamdulillah, kalau dia tak ada (meninggal), kami ikhlas”
Itu luahan Nur Atikah Yusuf, 27, ibu kepada Muhammad Fayyad Affan Mohd Fakhri, 4, yang ditemui lemas di Sungai Kupang,Baling selepas dilaporkan hilang pada Jumaat lalu.
Menurut Nur Atikah, dia dan suaminya, Mohd Fakhri Aziz, 30, melakukan solat hajat pada jam 3 pagi, Isnin, memohon agar anak mereka segera ditemui dalam apa jua keadaan.
Katanya, sekitar 12 jam kemudian, kanak-kanak itu akhirnya dijumpai oleh ahli keluarga di Sungai Kupang yang melakukan operasi pencarian pada Hari Raya Aidilfitri.
"Selepas operasi SAR (mencari dan menyelamat) ditamatkan ahli keluarga kami ambil inisiatif untuk terus mencari Fayyad.
"Alhamdulillah, sepupu kami yang ikut dalam pencarian itu dapat jumpa Fayyad, mungkin Fayyad nak ahli keluarganya sendiri yang jumpa dia,”ujarnya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini pada Selasa.
Nur Atikah berkata, lebih memilukan, Syawal tahun ini menjadi detik paling sedih buat pasangan itu kerana mereka sekeluarga sepatutnya menyambut Aidilfitri bersama si kecil.
"Muhammad Fayyad Affan sangat gemar makan pulut, khususnya ketupat, dan ia adalah menu kegemarannya setiap pagi raya.
"Kami turut merancang membawa Fayyad ke sesi fotografi khas sempena Aidilfitri, namun impian itu tidak kesampaian,” ujarnya.
Bagi Mohd Fakhri, kesedihan turut dirasai apabila perancangan untuk mengenakan pakaian sedondon berwarna biru gelap sekeluarga tidak menjadi kenyataan.
"Masa bawa dia beli baju Melayu dan sampin, dia nampak gembira sangat. Dia pegang baju, pegang seluar dan tunjuk baju baharu dia,” katanya sebak.
Difahamkan, jika proses bedah siasat selesai lebih awal, jenazah kanak-kanak itu akan dikebumikan selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam berhampiran Balai Polis Kupang, Baling.
Pada Jumaat, Muhammad Fayyad Affan yang juga anak-kanak orang kelainan upaya (OKU) autisme dan mengalami masalah pembelajaran dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Landak Paya, Kupang, Baling.
Kehilangannya itu disedari oleh ahli keluarganya sekitar jam 12.50 tengah hari sebelum mereka melaporkannya kepada pihak berkuasa.