IPOH - Demi memperkasakan ekonomi komuniti setempat, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Simpang Pulai mengambil inisiatif membuka sebuah galeri seni bagi membantu golongan penggiat seni tempatan menjana pendapatan.
Pengerusi JPKK Kampung Simpang Pulai, Shahrun Nahar Sulaiman berkata, idea menubuhkan galeri ini tercetus selepas pihaknya menjalankan beberapa inisiatif ekonomi sebelum ini termasuk dalam bidang pertanian.
Menurutnya, bagaimanapun bidang pertanian yang dicadangkan untuk dibuat di Gua Tempurung tidak dapat dilaksanakan kerana lokasi di luar kawasan JPKK.
"Kemudian, saya mendapat idea untuk membuka galeri seni kerana saya sendiri telah menghasilkan lukisan selama lebih 35 tahun sejak zaman Maktab Perguruan.
"Apabila saya berkongsi cadangan ini dengan JPKK, mereka menyambutnya dengan baik," katanya ketika ditemui di galeri berkenaan baru-baru ini.
Menurutnya, galeri yang diwujudkan di bawah program Sejati Madani itu bukan sahaja menampilkan hasil seni peribadi miliknya, tetapi juga membuka ruang kepada penggiat seni lain untuk berkarya dan menjana pendapatan.
Shahrun Nahar berkata, galeri berkenaan telah menarik minat ramai artis tempatan yang sebelum ini bergerak secara bebas tanpa tapak tetap untuk berkarya dan memasarkan hasil seni mereka.
"Mereka terdiri daripada pelbagai cabang seni seperti seni ukiran, airbrush, seni muzik, dan lukisan. Malah, Persatuan Pengukir Perak juga telah datang untuk menghantar produk mereka ke sini.
"Kami melihat kewujudan galeri ini sebagai satu usaha untuk memastikan para pengkarya mendapat sokongan dan tempat yang lebih tersusun untuk memasarkan hasil kerja mereka,” katanya.
Tambah Shahrun Nahar, setakat ini terdapat lima hingga enam artis tetap yang berkarya di bawah platform Signature Art yang diwujudkan melalui galeri tersebut.
Dari segi pengoperasian, beliau berkata, pengurusan galeri dilakukan secara bergilir dalam kalangan ahli JPKK mengikut kelapangan masing-masing.
"Saya sendiri menguruskan galeri selepas waktu persekolahan kerana saya masih mengajar. Ahli JPKK lain pula bertugas secara bergilir, ada yang bekerja pada siang dan ada yang bertugas pada malam.
"Bagi artis yang bekerja secara bebas, mereka boleh datang pada bila-bila masa untuk berkarya, manakala artis tetap boleh menggunakan ruang ini sebagai studio mereka,” katanya.
Shahrun Nahar berharap galeri ini dapat menjadi platform kepada golongan berbakat dalam seni untuk menonjolkan karya mereka serta menjana pendapatan.
Menurutnya, terdapat ramai yang berbakat di dalam kampung tetapi tiada saluran untuk mempamerkan atau menjual hasil kerja mereka.
"Jadi, dengan adanya galeri ini, mereka boleh datang dan berkarya, malah kita juga akan membantu memasarkan hasil seni mereka.
"Selain itu, kita akan berkongsi profil mereka dengan jabatan kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak peluang dan sokongan,” katanya.
Menurutnya, galeri ini bukan sahaja memberi manfaat kepada artis tempatan tetapi juga dapat membantu menambah dana JPKK melalui pelbagai aktiviti seni yang dirancang pada masa hadapan.
Majlis perasmian Galeri Signature Art yang terletak di Taman Muda di sini itu disempurnakan oleh Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Datuk Shamshuzaman Sulaiman.