KLUANG – Seorang lelaki maut manakala 14 yang lain cedera selepas dua kenderaan bertembung dalam kejadian di Kilometer 25, Jalan Renggam hala Layang-Layang pada Isnin malam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian sekitar jam 8 malam itu membabitkan sebuah Honda Stream yang dipandu seorang wanita berusia 35 tahun bersama lapan penumpang berumur antara tiga hingga 21 tahun.
Sementara itu, kenderaan kedua, Honda City, dipandu Muhammad Amiruddin Kamalruzaman, 29, membawa lima penumpang berusia antara satu hingga 60 tahun.
"Siasatan awal mendapati Honda Stream dalam perjalanan dari arah Renggam ke Layang-Layang manakala Honda City dari arah bertentangan.
"Ketika tiba di lokasi, Honda Stream dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Honda City,"** katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, akibat pertembungan itu, semua pemandu dan penumpang mengalami kecederaan sebelum dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Bagaimanapun, pemandu Honda City, Muhammad Amiruddin Kamalruzaman yang mengalami kecederaan parah di muka dan kepala, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dan siasatan awal mendapati kenderaan hilang kawalan serta memasuki laluan bertentangan sebagai punca kejadian," katanya.
Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penguasa Bomba Kanan I Abdul Rahim Razali berkata, pemandu kedua-dua kenderaan tersepit akibat kemalangan tersebut.
"Lapan mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.
"Pihak bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mereka kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital.
"Seramai 10 anggota dari BBP Renggam dan BBP Layang-Layang terlibat dalam operasi menyelamat yang selesai pada jam 8.15 malam,"katanya.