AFRIKA SELATAN - Seorang lelaki mengaku bersalah kerana merogol dan membunuh anak perempuannya yang berusia lapan hari ketika bayi itu ditinggalkan sendirian dalam jagaannya.
Menurut laporan NDTV, Hugo Ferreira, 37, membuat pengakuan tersebut di hadapan Mahkamah Tinggi Pretoria atas tuduhan menyerang dan mencabul anak perempuannya yang baru lahir pada 8 Jun 2023.
Perbuatan berkenaan dilakukan ketika ibu kepada bayi, Maureen Brand, keluar membeli lampin dan menjual pakaian.
Setelah kembali dari urusan berkenaan, Brand mendapati bayi tersebut cedera akibat penderaan fizikal dan seksual.
Bayi berkenaan dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi disahkan meninggal dunia.
Jenayah tersebut dipercayai didorong oleh rasa marah dan keinginan untuk menyebabkan kesakitan kepada bayi dan Ferreira mengaku melakukan perbuatan kejam itu dengan sengaja.
Ferreira berkata, dia tidak berpuas hati kerana ditinggalkan bersendirian dengan bayi berkenaan.
"Saya menerima bahawa ia adalah serangan yang kejam dan ngeri terutama ke atas bayi sekecil itu.
"Tindakan tersebut jelas menyalahi undang-undang dan saya melakukannya dengan niat,” katanya dalam pengakuan.
Ferreira mengakui dia telah menggunakan methamphetamine, namun ia tidak menjejaskan keupayaannya untuk memahami tindakannya.
Dia ketika ini menunggu hukuman atas jenayah yang dilakukannya di sebuah rumah berhampiran Welverdiend.