Terima kasih DBKL, tapi tindakan mahkamah tetap diteruskan - Dr Akmal Saleh

Iklan
Sinar Harian melaporkan bahawa DBKL akan mempertimbangkan menanggung kos rawatan peniaga belon. Gambar kecil: Dr Muhamad Akmal

SHAH ALAM - Tindakan undang-undang terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap akan diteruskan bagi menuntut keadilan buat peniaga belon, meskipun pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mempertimbangkan untuk menanggung kos perubatan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pertimbangan DBKL untuk menampung kos perubatan peniaga belon didahulukan dengan ucapan terima kasih, namun tidak bermakna tindakan mahkamah akan terhenti.

Iklan
Iklan

"Terima kasih DBKL atas pertimbangan untuk menampung kos perubatan.

"Tetapi itu tidak bermakna tindakan mahkamah untuk menuntut keadilan ‘Abang Belon’ akan terhenti. Kita jumpa di mahkamah nanti,” katanya di Facebook pada ahad.

Iklan

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan meluangkan masa mewakili DBKL melawat penjaja belon itu atau nama sebenarnya Muhamad Za'imuddin Azlan yang sedang dirawat di hospital.

Menurut Maimunah, DBKL akan mempertimbangkan menanggung kos rawatannya sepanjang tempoh rawatan, tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa.

Iklan

Terdahulu, tular video yang menyaksikan seorang penjual belon dikasari oleh sekumpulan penguat kuasa DBKL termasuk kakitangan dipercayai berpakaian awam.

Dalam rakaman video tular berkenaan, penjual belon itu dikasari sehingga dia terjatuh dan berguling di atas jalan raya.