SHAH ALAM - Segala biaya rawatan di hospital dan kos lantikan peguam buat kes peniaga belon yang tular baru-baru ini akan ditanggung oleh Pemuda UMNO.
Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau sempat bertanyakan keadaan terkini peniaga belon sambil mendengar sendiri keluhan pemuda berkenaan menerusi panggilan video.
Menurutnya, peniaga belon berkemungkinan mengalami patah tulang pinggang akibat diperlakukan secara kasar oleh beberapa anggota penguat kuasa.
Jelas beliau, mangsa tidak wajar diperlakukan sedemikian rupa memandangkan niat asalnya sekadar mahu mencari rezeki di kawasan terbabit.
"Alhamdulillah, tadi (Sabtu) ketua pemuda UMNO Wilayah berjumpa dengan 'abang belon' atau Angah Zaim di Hospital Sultan Idris Shah Serdang.
"Luluh hati saya bila dapat tahu kecederaan yang dialami kemungkinan patah tulang. Bertambah luluh kerana dia hanya mahu cari makan, kenapa dia diperlakukan sebegitu rupa?
"Insya-ALLAH Pemuda UMNO akan lawan dan dapatkan keadilan untuk Angah serta segala kos perubatan kami tanggung bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Pada Jumaat lalu, tular beberapa rakaman video memaparkan kejadian perselisihan faham antara penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penjual barangan tanpa lesen.
Rakaman video yang dipercayai diambil peniaga di sekitar lokasi itu pada mulanya menunjukkan beberapa anggota penguat kuasa DBKL sedang merampas belon, namun suasana bertukar kecoh apabila peniaga berkenaan didakwa tidak memberi kerjasama.
Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berpandangan, pihak terlibat sememangnya mempunyai kuasa dan pelbagai versi untuk diceritakan bagi menutup kes.
"Kamu memang ada kuasa, kamu boleh buat cerita versi kamu, tetapi ALLAH SWT Maha Mengetahui.
"Kami nak ingatkan, kamu tidak ada hak langsung dengan kuasa yang kamu ada untuk menganiaya mereka sedemikian rupa!
"Kita jumpa di mahkamah!” ujarnya lagi.