Penternak dedikasi sumbangan untuk arwah ibu bapa

Iklan
Zainol Abidin (kanan) menyerahkan bantuan kepada penerima terpilih di ladang ternakannya di Jalan Sintok pada Sabtu.

KUBANG PASU - Seorang penternak di Jalan Sintok di sini menyumbangkan kelengkapan perayaan termasuk daging kerbau dan ayam kepada 500 penduduk dengan harapan pahala yang mengalir dapat dihadiahkan kepada arwah ibu dan bapanya.

Pengarah Urusan Fatimah MZ Agro Farm, Zainol Abidin Mohamad berkata, sebagai anak dia amat menyanjungi kedua ibu bapanya yang bersusah payah membesarkan mereka empat beradik sehingga berjaya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bapanya, Allahyarham Syed Mohamad Kadir meninggal dunia pada tahun 2007 manakala ibunya Allahyarham Bibi Fatimah Abdul meninggal dunia pada tahun 2020.

"Mereka telah mengorbankan segalanya untuk lihat kami berjaya dan saya masih rasa belum cukup membalas budi mereka.

Iklan

"Sebab itu setiap sumbangan dan bantuan kepada masyarakat, saya niatkan untuk mereka. Ini adalah tanda ingatan dan kasih sayang saya kepada ibu bapa yang telah tiada," katanya ketika ditemui di ladang ternakannya di Jalan Sintok di sini pada Sabtu.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, penglibatannya dalam dunia penternakan juga bermula daripada hasrat ibunya yang mahu melihat dia membela kambing.

Iklan

"Pada tahun 2018, ibu saya diserang penyakit angin ahmar dan dia ada menyatakan hasrat untuk melihat saya membela kambing di tanah dusun kami di Jalan Sintok.

"Bagi menunaikan permintaan ibu, saya membeli dua ekor kambing untuknya dengan niat untuk menyenangkan hati ibu supaya tidak terlalu memikirkan sakitnya.

"Tidak lama kemudian, kambing itu makin membiak dan saya mula membina kandang yang lebih besar kerana jumlahnya makin bertambah,” katanya.


Jelas Zainol Abidin yang mesra disapa Cikgu Non, tidak cukup dengan itu, ibunya juga turut mendahulukan modal untuknya mengembangkan lagi penternakan.

"Ibu keluarkan wang RM25,000 dari ASB (Amanah Saham Bumiputera) dan meminta saya membeli lembu pula untuk dibela.

"Jadi saya gunakan wang itu untuk membeli 12 ekor lembu yang dijual dengan harga murah oleh seorang kenalan,” ujar bapa kepada empat orang cahaya mata ini.

Zainol Abidin yang juga Tokoh Guru Negeri Kedah 2022 berkata, bermula dari situ dia tidak lagi mengalah dan patah semangat.

"Saya terus melangkah dan Alhamdulillah sehingga kini saya sudah mempunyai beberapa haiwan ternakan termasuk rusa dan urusan ladang ini turut dibantu oleh anak kedua saya Mohamad Alias, 34,” ujarnya.

Zainol Abidin berkata, beliau percaya amalan bersedekah bagi pihak ibu bapa yang telah meninggal dunia adalah satu bentuk kebajikan yang dianjurkan dalam Islam

"Jadi hari ini saya mengadakan program sumbangan kepada 500 penduduk dalam daerah Kubang Pasu ini yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra dan DUN Bukit Kayu Hitam.

"Sumbangan yang diberikan merangkumi wang tunai, kelengkapan hari raya, daging kerbau, dan ayam. Penerima manfaat pula terdiri daripada golongan asnaf, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik setempat,” jelasnya.

Zainol Abidin yang juga Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kedah berkata, tarikh pembukaan sekolah yang hampir dengan hari raya tahun ini menyebabkan sesetengah ibu bapa menghadapi kesukaran menyediakan kelengkapan raya untuk keluarga.

"Sebagai orang kampung di sini, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan saudara-saudara saya juga boleh merayakan hari kemenangan umat Islam ini,” tambahnya.