Polis siasat insiden kekecohan Jalan TAR

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai video tular yang memaparkan kakitangan pihak berkuasa itu mengasari peniaga belon di Jalan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR). Gambar kecil: Sulizmie

KUALA LUMPUR - Polis sedang menyiasat kekecohan yang berlaku ketika anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita barangan penjaja tanpa lesen di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kekecohan tercetus ketika proses sitaan dijalankan, berlaku pergelutan antara seorang penjaja belon dengan anggota penguat kuasa, sebelum beberapa penjaja lain turut membuat provokasi di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

"Pihak polis menerima satu laporan polis daripada anggota penguat kuasa DBKL pada Sabtu berkenaan kejadian terbabit.

Iklan

"Siasatan mendapati, semasa proses penyitaan, berlaku pergelutan antara penjaja tersebut dengan anggota DBKL dan beberapa penjaja lain turut membuat provokasi," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan secara telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Iklan

"Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan, termasuk individu yang mengganggu tugas penjawat awam.

"Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta mematuhi peraturan ditetapkan," katanya.

Terdahulu, rakaman insiden kekecohan di Jalan TAR tular di media sosial selepas dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook.

Video berdurasi 1 minit 42 saat itu menunjukkan suasana tegang ketika operasi penguatkuasaan dijalankan oleh DBKL.