Aidilfitri lambang semangat kebersamaan, tidak harus dipolitikkan - Persatuan Cina

Iklan
Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja perayaan umat Islam, tetapi turut mengandungi nilai kemanusiaan, melambangkan penyatuan keluarga dan semangat kebersamaan dalam komuniti. Gambar kecil: Ngan Teng Ye

SHAH ALAM - Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja perayaan umat Islam, tetapi turut mengandungi nilai kemanusiaan, melambangkan penyatuan keluarga dan semangat kebersamaan dalam komuniti.

Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Ngan Teng Ye berkata, pada hari yang penuh makna itu, pintu rumah dibuka luas untuk menerima tetamu dari pelbagai latar belakang, menikmati juadah bersama serta mengeratkan hubungan silaturahim.

Iklan
Iklan

Menurutnya, nilai-nilai penyertaan masyarakat bukan Islam dalam aktiviti rumah terbuka dan pengalaman adat hari raya merupakan satu amalan yang baik dalam memperkukuh pemahaman budaya.

"Namun, terdapat sesetengah pihak sering salah taksir interaksi antara kaum dalam perayaan, malah menjadikannya isu politik.

Iklan

"Sebagai contoh, baru-baru ini Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin menghadiri majlis terbuka puasa di masjid bersama anaknya demi memahami budaya Islam tetapi telah menerima kritikan tidak sewajarnya.

"Insiden ini mencerminkan salah faham terhadap interaksi budaya serta kebimbangan identiti yang tidak berasas. Perayaan antara kaum tidak harus dijadikan alat politik," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Tambah Teng Ye, sebaliknya semua pihak harus yakin dengan budaya sendiri dan menerima budaya kaum lain dengan sikap terbuka dan inklusif.

Jelasnya, bagaimanapun sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya, Malaysia tidak terlepas daripada perselisihan dan salah faham.

"Namun, nilai toleransi dan kemaafan yang terdapat dalam perayaan ini menjadi jambatan untuk menyatukan perbezaan serta mengukuhkan keharmonian sosial.

"Marilah kita mengambil kesempatan sempena perayaan ini untuk menerapkan nilai unik yang dibawa oleh kepelbagaian budaya serta menghargai, memahami dan menghormati tradisi masing-masing dengan lebih terbuka.

"Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, saya mewakili KLSCAH ingin mengucapkan salam Aidilfitri yang tulus ikhlas kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Semoga anda semua dilimpahi kebahagiaan dan kesejahteraan," ujarnya.