PELAKON Hisyam Hamid menyerahkan tugas membuat persiapan raya kepada anak sulung, Nurish Syameliah, 18, dan ibunya.
Ujar pemilik nama sebenar Hazmi Hisyam Abdul Hamid itu, sebagai ketua keluarga, dia hanya mengeluarkan perbelanjaan mengikut permintaan anak dan ibunya.
"Nurish sudah ambil alih tugas bekas isteri, dia yang tetapkan warna baju raya pertama apa. Saya pula merupakan duta baju Melayu, jadi ada lebih 50 warna yang boleh dipilih, manakala anak lelaki saya dia akan ikut sahaja.
"Bagi persiapan di rumah seperti langsir atau perabot, saya serahkan kepada ibu saya untuk buat pilihan. Saya juga beri duit sahaja sekiranya diperlukan.
"Kuih raya pun ibu saya pesan tidak perlu lagi beli kerana sudah banyak orang beri dan saya sendiri berniaga kuih raya, jadi sudah cukup banyak di rumah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.
Ditanya adakah Hisyam akan meraikan Lebaran bersama bekas isteri, Rosmawati Hanafi seperti tahun lalu, bintang utama Andai Tiada Dia itu memberitahu masih belum memikirkannya.
"Sebenarnya tahun lepas secara kebetulan kami sama-sama ada kelapangan untuk rai Aidilfitri bersama, tetapi tahun ini saya sendiri tidak pasti.
"Mungkin bergantung pada keadaan nanti. Setakat ini saya akan bercuti selama seminggu dan meraikan Aidilfitri di Singapura.
"Kalau ada kesempatan, boleh sahaja kerana saya masih lagi mengekalkan hubungan baik dengan bekas isteri dan adik-beradiknya," jelas Hisyam.
Sekadar info, pada Mei tahun lalu, Hisyam mengumumkan mengenai perceraiannya dengan bekas isteri selepas mendirikan rumah tangga pada 2006.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak iaitu Nurish dan Haydeen, 16.
Berkongsi perkembangannya sepanjang Aidilfitri ini, Hisyam berkata, dia terlibat dengan program masakan berjudul Andai Tiada Suri sepanjang Ramadan dan Syawal.
Bukan itu sahaja, istimewa Syawal ini, Hisyam bersama Ummi Nazeera dan Zahiril Adzim akan tampil dengan telefilem raya, Andai Tiada Dia Raya yang akan bersiaran pada pagi 1 Syawal di Astro Ria.
"Selepas dihidangkan dengan jalan cerita yang berat, Andai Tiada Dia Raya tampil dengan genre yang berbeza. Harap penonton akan menyukainnya," katanya.