'Dahulu rakyat Malaysia pos lima juta kad raya'

Iklan
Koleksi 'Serba-Serbi Aidilfitri' menampilkan 10 keping setem, sampul duit raya dan poskad yang boleh didapati di pejabat pos terpilih di seluruh negara pada harga RM28.

KUALA LUMPUR - Tradisi mengutuskan kad raya yang dahulunya menjadi amalan utama dalam menyampaikan ucapan sempena perayaan kini semakin dilupakan, seiring perkembangan teknologi komunikasi digital.

Penggunaan platform media sosial, aplikasi pesanan ringkas dan e-mel telah menggantikan peranan kad fizikal dalam menyampaikan ucapan perayaan.

Iklan
Iklan

Situasi itu secara tidak langsung turut memberi tempias kepada syarikat perkhidmatan pos negara, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) yang kini secara purata menerima 200,000 keping kad setahun untuk dihantar ke seluruh negara sejak lima tahun lalu.

Pengarah Operasi Pos Malaysia, Zaini Yahman berkata, jumlah tersebut menunjukkan penurunan ketara dalam jumlah kad raya yang diproses sepanjang dekad yang lalu.

Iklan

Berbanding 10 tahun lalu, syarikat pengeposan yang wujud lebih 200 tahun itu pernah merekodkan lima juta kad raya dihantar menjelang musim perayaan pada 2010.

"Dalam satu bulan, rakyat Malaysia pos kad raya hampir lima juta ketika zaman tiada digital dan semua orang gunakan kad raya untuk hantar ucapan kepada kenalan, ahli keluarga dan saudara.

Iklan

"Namun trend itu semakin berubah, sekarang orang hanya hantar ucapan melalui aplikasi media sosial dan sebagainya.

"Sejak 2020, selepas berakhir pandemik Covid-19, purata tahunan Pos Malaysia terima kira-kira 200,000 kad ucapan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.Mengimbau detik meriah suatu ketika dahulu, Zaini memaklumkan, Pos Malaysia mengendalikan penghantaran berjuta-juta kad raya setiap kali kedatangan musim sambutan Aidilfitri.

Oleh kerana tidak menang tangan, beliau berkata, syarikat terpaksa menetapkan tarikh akhir penghantaran kad raya yang diumumkan menerusi pemberitahuan di papan kenyataan pejabat pos atau tempat awam.

"Malah ada ketikanya syarikat terpaksa mengambil kakitangan sambilan untuk membantu melakukan penghantaran kad raya.

"Kalau dahulu, kita buat pengumuman tarikh akhir hantar (kad raya) adalah seminggu sebelum Aidilfitri, namun kini Pos Malaysia sudah tidak lakukan (pengumuman) lagi,” ujarnya.

Dalam usaha mengembalikan nostalgia mengirim kad ucapan sempena perayaan, Zaini memberitahu, Pos Malaysia akan mengeluarkan kad raya edisi khas pada setiap tahun.

Bagi keluaran tahun ini menurutnya, ia dihasilkan dengan sentuhan menarik bertemakan ‘Serba-Serbi Aidilfitri’ bagi mengembalikan nostalgia aktiviti perayaan itu melalui pengalaman menggunakan setem dan menghantar poskad raya.

"Bezanya tahun ini, Pos Malaysia memilih poskad berbanding kad kerana lebih mudah kerana tidak perlu sampul, hanya beli poskad yang sudah dilekatkan dengan setem, tulis ucapan dan masukkan dalam peti merah.

"Set kad raya serta setem edisi khas Aidilfitri tahun ini disertakan dengan tiga keping sampul duit raya dan boleh dibeli di pejabat pos terpilih seluruh negara,” jelasnya.