IKN, pusat penjagaan kanser beroperasi penuh sepanjang Aidilfitri

Iklan
Institut Kanser Negara dan pusat penjagaan kanser di seluruh negara akan beroperasi dengan keupayaan penuh sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

PUTRAJAYA - Institut Kanser Negara (IKN) dan pusat penjagaan kanser di seluruh negara akan beroperasi dengan keupayaan penuh sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia dicapai dengan membuat penggiliran jadual kerja antara kakitangan bagi memastikan pesakit yang bergantung kepada perkhidmatan berterusan mendapat perhatian sewajarnya.

Iklan
Iklan

"Di IKN, terdapat 170 kakitangan termasuk doktor pakar, pegawai perubatan, jururawat dan sebagainya bekerja pada dua hari sebelum dan selepas Aidilfitri," katanya menerusi sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke IKN, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kadar penggunaan katil (BOR) adalah sekitar 60 hingga 90 peratus daripada kapasiti 252 katil rasmi bergantung kepada musim tertentu.

Iklan

"Kebiasaannya pada musim perayaan kadar BOR adalah 64 peratus," jelas Dr Dzulkefly.

Terdahulu beliau meninjau beberapa kemudahan utama termasuk wad dan Unit Rawatan Harian Oncology serta menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pesakit dan petugas kesihatan sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti.

Iklan

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, IKN bakal menerima dua daripada lima mesin pemecut linear perubatan (LINAC) baharu tahun ini.

Tiga lagi akan ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur; Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah serta Hospital Umum Sarawak.

"Mesin LINAC generasi baharu yang diterima oleh IKN dilengkapi dengan Stereotactic Body Radiotherapy (SBRT) yang merupakan rawatan yang lebih canggih dan berteknologi tinggi menggunakan dos sinaran radioterapi yang tinggi dan tepat untuk memusnahkan sel kanser.

"Ini seterusnya membolehkan tempoh menunggu pesakit untuk mendapatkan rawatan radioterapi dapat dijalankan dengan lebih singkat dan dengan kesan sampingan yang minimum kepada pesakit," jelas beliau.

Mesin LINAC generasi baharu yang diterima oleh IKN dilengkapi dengan SBRT merupakan rawatan lebih canggih dan berteknologi tinggi.

Ia menggunakan dos sinaran radioterapi yang tinggi dan tepat untuk memusnahkan sel kanser.

Pada tahun 2024, IKN telah menerima dan merawat lebih daripada 92,000 pesakit melalui pelbagai saluran termasuk rawatan pesakit dalam, rawatan harian dan klinik pakar.