Analisis nilai bangsa demi hala tuju Melayu

Iklan
Dua dari kiri, Baharudin, Prof Dr Mohd Azizuddin dan Prof Dr Ahmad Murad bercakap pada Program Wacana Pena 'Andai Karam Bahtera Kita Apakah Penyelesaiannya' di sini hari ini.

KUALA LUMPUR - Sasterawan Negara, Datuk Baharudin Zainal menyifatkan orang Melayu di negara ini tidak perlu bimbang tentang kedudukan 'bahteranya' sebaliknya hanya perlu mengkaji semula sikap dan nilai bangsa sendiri.

Beliau berkata, ini kerana orang Melayu sebagai golongan majoriti sudah ramai yang berjaya dan mempunyai kedudukan pada hari ini.

Iklan
Iklan

"Nasib orang Melayu di negara ini saya kira kita tak perlu bimbang. Di negara kita sekitar 32.6 juta ini hampir 70 peratus Melayu, 22 peratus Cina, 6 peratus India. Kita majoriti. Jadi apa masalahnya?

"Kadang-kadang kita orang Melayu ni makan anak sendiri...siapa yang curi duit negara, berbilion ringgit? Pemimpin kita. Siapa yang jerumuskan bahasa Melayu dalam Matematik dan Sains? Pemimpin kita. Jadi kita nak salahkan siapa?

Iklan

"Kita perlu ada analisis kritikal tentang diri sendiri supaya kita lebih jelas di manakah bahtera kita ini telah pergi,"katanya ketika Wacana Persatuan Penulis Nasional (Pena) 'Andai Karam Bahtera Kita Apakah Penyelesaiannya' di Rumah Pena di sini, hari ini.

Tambah beliau, selaku pemikir, golongan intelektual juga perlu lebih berani berperanan mengemukakan idea untuk membina nilai yang baik.

Iklan

"Saya tidak mahu melepaskan beban kemerosotan Melayu kepada bangsa lain tetapi kita mesti lakukan analisis kita sendiri sejauh mana kita berani memperjuangkan bahasa, kebudayaan dan agama kita.

"Selagi kita tidak ada keberanian itu, kita akan lepaskan beban itu kepada orang lain. Kita kena kaji diri kita, masyarakat kita dan kepimpinan kita.

"Di samping kita sangsi dan curiga terhadap kaum lain dalam politik, kita kena kaji semula nilai-nilai kebudayaan kita. Nilai-nilai ini yang membezakan setiap kaum,"katanya.

Dalam pada itu, Penganalisis Politik dari Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata, kebocoran 'bahtera' politik Melayu masih boleh diperbaiki dengan mengambil kira beberapa perkara yang boleh digunapakai.

Pada masa sama katanya, masyarakat perlu terus menjadi golongan pendesak dalam memastikan kelangsungan agenda Melayu terus hidup.

"Kelangsungan politik Melayu, ramai bimbang Melayu hilang kuasa...karam. Saya rasa bocor mungkin ada tapi karam belum lagi...boleh ditampal sebab saya rasa perjuangan ke arah memartabatkan politik Melayu masih ada.

"Politik Melayu maksudnya tak semestinya parti tapi agenda Melayu. Agenda Melayu akan terus berjalan. Peranan kita seperti Pena harus sentiasa menjadi pendesak memastikan agenda terus hidup dan dilaksanakan.

"Ini tugas yang harus dimainkan oleh rakyat, makin lama mereka akan tahu peranan dan kuasa yang ada pada mereka memastikan agenda terus berjalan,"katanya.

Sementara itu Profesor Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (Istac-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican, menzahirkan kekhuatiran jika bahtera itu adalah dalam konteks Negara Malaysia.

Katanya, bahtera itu berbalik kepada kontrak sosial yang membentuk sebuah negara bangsa di mana, warganegara dipimpin seorang pemimpin.

"Siapa pemimpin bahtera? Nakhoda. Banyak nakhoda dalam sejarah Melayu. Status nakhoda adalah hebat. Nakhoda, raja kapal yang menentukan keadaan, segala-galanya dan menentukan arah tuju bahtera.

"Dalam konteks Malaysia apabila disebut bahtera, kekhuatiran saya adalah bahtera kita terancam. Kita tak mahu bahtera kita dipimpin oleh nakhoda lain.

"Sekarang ini ramai nakhoda ingin memimpin bahtera Malaysia dan kita mesti memastikan yang pimpin bahtera Malaysia adalah nakhoda yang betul,"katanya.