LUDHIANA – Mahkamah di Ludhiana menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang lelaki berusia 28 tahun dari Uttar Pradesh selepas didapati bersalah merogol dan membunuh kanak-kanak perempuan berusia empat tahun pada 2023.
Dalam penghakimannya, mahkamah menegaskan bahawa jenayah yang dilakukan oleh tertuduh adalah keji.
"Mangsa adalah seorang kanak-kanak yang tidak berdosa, tidak berdaya dan tidak dilindungi. Kesalahan yang dilakukan amat menggemparkan masyarakat.
"Penjenayah seperti ini merupakan ancaman kepada masyarakat dan tidak boleh direhabilitasi. Hukuman yang lebih ringan akan menjejaskan keadilan bukan sahaja kepada mangsa dan keluarganya, malah kepada seluruh masyarakat," katanya.
Bagaimanapun, hukuman itu masih tertakluk kepada pengesahan Mahkamah Tinggi Punjab dan Haryana.
Menurut kes yang dikemukakan oleh pihak polis, kejadian berlaku pada 28 Disember 2023 apabila tertuduh, Sonu Singh, 28, telah memperdaya mangsa dengan memberi coklat sebelum membawanya ke sebuah bilik.
Selepas merogol dan membunuh kanak-kanak itu, dia menyembunyikan mayat mangsa di dalam kotak katil sebelum melarikan diri.
Mayat mangsa ditemui sehari selepas kejadian dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Daba, Ludhiana.
Hampir 20 hari kemudian, Sonu Singh berjaya diberkas di Fatehpur, Uttar Pradesh, tempat dia melarikan diri selepas jenayah itu dilakukan.
Dalam kertas pertuduhan yang dikemukakan polis, mayat kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah, dengan kesan calar pada lehernya.
Rakaman CCTV turut menunjukkan tertuduh membawa mangsa pergi sebelum kejadian.
Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian adalah sesak nafas akibat cekikan, selain membuktikan bahawa kanak-kanak itu telah dirogol sebelum dibunuh. - Agensi