SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengingatkan orang ramai agar menyemak status tunggakan cukai mereka sebelum merancang perjalanan ke luar negara, khususnya sempena cuti perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.
Menurut agensi kerajaan itu, sekatan perjalanan boleh dikenakan ke atas individu atau syarikat yang gagal melunaskan cukai tertunggak berdasarkan peruntukan Seksyen 104 dan 75A Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 serta Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976.
"Sekatan perjalanan adalah langkah terakhir yang diambil sekiranya pembayar cukai masih gagal menjelaskan baki cukai selepas menerima pelbagai peringatan dan notis," kata LHDN menerusi satu kenyataan.
Tambah LHDN, bagi mengelakkan sebarang masalah di pintu keluar negara, orang ramai dinasihatkan untuk menyemak status tunggakan cukai menerusi portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my/ serta status sekatan perjalanan melalui portal Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.
Jika terdapat tunggakan, pembayar cukai disarankan untuk segera melunaskan bayaran atau menghubungi Pejabat LHDN bagi membincangkan kaedah pembayaran secara ansuran.
LHDN turut memaklumkan bahawa permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat secara dalam talian melalui perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan di MyTax, dengan syarat individu tersebut adalah warganegara Malaysia, membuat bayaran penuh, dan sekatan dikenakan di bawah ACP 1967.
Sebagai alternatif, pembayar cukai juga boleh menghubungi LHDN Contact Centre di talian 03-8911 1000 atau mengunjungi Pejabat LHDN terdekat untuk mendapatkan bantuan lanjut.
Dalam pada itu, LHDN turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam dan berharap perayaan kali ini membawa kebahagiaan serta kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia.