KOTA BHARU - Seorang wanita terpaksa mengerah tenaga dan tulang empat kerat untuk mencari rezeki demi tiga anak dan suami yang mengalami masalah kesihatan.
Lebih menyedihkan anak ketiganya didiagnos penyakit jarang dialami iaitu leukemia mieloid kronik (CML) manakala anak keduanya mengalami masalah kemurungan dan anak ketujuh pula perlu menjalani pembedahan tonsil.
Haryani Mat Hussin, 46, kini mengambil peluang Ramadan dan Aidilfitri dengan berusaha menjual pelbagai jenis kuih raya serta kerepek untuk menampung perbelanjaan keluarga walaupun pendapatannya tidak mencukupi.
"Saya tak fikirkan keperluan baharu untuk anak-anak pada Hari Raya ini tetapi perlu kuat memberikan semangat kepada mereka," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Jalan Bayam.
Haryani memberitahu, suaminya yang mengalami 'slipped disc' pula hanya dapat membantu sekadar mampu kerana tidak boleh melakukan kerja-kerja berat.
Bercerita mengenai anak ketiganya kata Haryani, penyakit Ana Sufiyyah Mohd Tarmizi didiagnos sejak dua tahun lalu dan terpaksa berulang-alik ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk menjalani rawatan kemoterapi.
Menurutnya, ubat untuk Ana Sufiyyah berharga lebih RM6,000 namun dia masih memikirkan untuk membelinya walaupun anaknya itu perlu bergantung kepada ubat kemoterapi seumur hidupnya.
Ibu kepada 10 anak ini juga memberitahu, pada masa sama Ana Sufiyyah turut menghidap ‘horse shoe kidney’ iaitu mempunyai hanya satu saluran penyambung untuk kedua-dua buah pinggang.
"Anak saya juga mengalami ‘golden har syndrome’ iaitu tidak mempunyai cuping telinga di sebelah kiri dan mempunyai kad orang kurang upaya (OKU)," katanya.
Haryani berharap keadaan keluarganya semakin baik selepas pelbagai usaha dilakukan bagi memulihkan keadaan kewangannya.
"Saya juga berharap orang ramai membeli kuih dan kerepek yang dijual secara dalam talian supaya dapat membantu memulihkan kesihatan anak-anak," katanya.
Orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank bernombor 563046315162 atas nama Haryani Mat Hussin atau menghubunginya di talian 01110267559.