BEKASI – Sekumpulan jemaah wanita yang sedang khusyuk bersolat di sebuah masjid di Bekasi, Jawa Barat, dikejutkan dengan kejadian siling masjid yang tiba-tiba runtuh.
Insiden itu berlaku tanpa sebarang tanda awal, mencetuskan kekecohan dalam kalangan jemaah yang sedang beribadah dalam masjid tersebut.
Menurut saksi di lokasi, runtuhan siling berlaku serta-merta dan serpihannya mengenai beberapa jemaah.
"Katika kami sedang berzikir selepas solat ketika terdengar bunyi retakan kuat. Sekelip mata, siling jatuh dan menimpa beberapa orang,” kata seorang saksi yang enggan dikenali.
Dalam rakaman CCTV menunjukkan beberapa mangsa mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan siling yang jatuh.
Difahamkan, pihak pengurusan masjid segera menghubungi pasukan perubatan dan keselamatan untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa, sebelum mangsa dipindahkan ke pusat kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
Siasatan awal mendapati struktur siling masjid mungkin mengalami kerosakan sebelum kejadian, namun pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.
"Kami akan melakukan pemeriksaan terperinci untuk memastikan sama ada faktor usia bangunan atau faktor lain yang menyebabkan kejadian ini,” kata seorang pegawai keselamatan tempatan.
Penduduk setempat berharap pihak pengurusan masjid serta pihak berwajib dapat menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap keadaan struktur rumah ibadah itu bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
"Kami amat berharap ada tindakan segera kerana masjid ini sering digunakan oleh masyarakat, terutama dalam bulan Ramadan,” ujar seorang penduduk.
Hingga kini, pihak berkuasa masih meneruskan siasatan, manakala pihak masjid memberi jaminan bahawa langkah pemulihan akan diambil segera untuk memastikan keselamatan jemaah terjamin. - Agensi