MATTA Fair 2025: Macau jadi destinasi pilihan antarabangsa

Iklan
Nigel (kiri) dan Kora (kanan) bergambar selepas sidang akhbar di MITEC di sini pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan Macau sebagai Destinasi Pilihan Antarabangsa bagi Pameran Matta Fair 2025 yang akan berlangsung pada April depan.

Presidennya, Nigel Wong berkata, permintaan pelancong Malaysia ke Macau kekal tinggi dan destinasi itu terus berkembang dengan pelbagai tarikan baharu.

Iklan
Iklan

"Ramai rakyat Malaysia sudah pernah ke Macau, tetapi tahun ini, lebih banyak kejutan menanti dengan tarikan baharu dan menarik," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.

Nigel (kiri) dan Kora (kanan) memberitahu kepada media pada sidang akhbar di MITEC di sini pada Khamis.

Nigel menjelaskan, pengiktirafan itu bukan sekadar meraikan daya tarikan luar biasa Macau, malah mencerminkan komitmen MATTA dalam memperluaskan pasaran pelancongan.

Iklan

"Kerjasama dengan Macau ini membuktikan bagaimana perkongsian strategik mampu membuka lebih banyak peluang untuk pelancong serta pemain industri pelancongan.

"Usaha ini bukan sekadar memperkenalkan tarikan Macau, tetapi juga membantu ahli kami meluaskan rangkaian perniagaan mereka ke pasaran yang lebih luas," jelas beliau.

Iklan

Ketua Bahagian Pemasaran Pejabat Pelancongan Macau, Kora Wong berkata, pihaknya komited memperkenalkan tarikan baharu Macau kepada pelancong di negara ini, selain mempromosikan bandar itu sebagai destinasi mesra keluarga dan pelancongan halal.

Menurutnya, buku panduan 'Macau untuk pelancong Muslim' baharu sahaja dilancarkan mengandungi maklumat mengenai makanan halal, cadangan perjalanan dan perkara penting yang perlu diketahui ketika berkunjung ke destinas pelancongan itu.

Beliau juga memberitahu, pameran Macau sempena MATTA Fair 2025 pada tahun ini bakal menampilkan program interaktif dan tawaran percutian eksklusif kepada pengunjung.

Pavilion Macau ditempatkan di Aras 2, Dewan Antarabangsa MITEC dijangka menjadi tumpuan utama dengan menampilkan pelbagai tarikan menarik.

Pengunjung boleh menikmati promosi eksklusif serta pengalaman interaktif yang menonjolkan gabungan budaya Timur dan Barat, resort bertaraf dunia, mercu tanda ikonik dan hidangan makanan terkenal.

Dalam pada itu, persatuan itu turut mengumumkan MATTA Connect, sebuah acara perniagaan ke perniagaan (B2B) baharu yang akan berlangsung pada 17 April depan, sehari sebelum pameran utama.

Acara itu menjadi platform pertemuan pemain industri pelancongan antarabangsa dan tempatan bagi membincangkan peluang baharu serta menjalin kerjasama strategik.

Waktu operasi pameran itu dari jam 10 pagi hingga 9 malam dengan kemasukan secara percuma.

Selain itu, perkhidmatan bas ulang-alik percuma turut disediakan dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC.

Pengunjung yang memandu boleh menggunakan kemudahan parkir di MITEC, MITI Basement dan kawasan parkir terbuka MATRADE.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti laman rasmi MATTA Fair di Facebook, X, TikTok serta Instagram @mattafair.official.