KUALA LUMPUR- Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan bagi Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) sebanyak 5.50 sen seunit, manakala Amanah Saham Malaysia (ASM) sebanyak 5.00 sen seunit.
Menerusi kenyataan, PNB memaklumkan agihan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 itu melibatkan jumlah keseluruhan RM2.18 bilion iaitu RM0.73 bilion bagi ASB 2 dan RM1.45 bilion (ASM).
Menurutnya, pengagihan dividen itu akan memberi manfaat kepada 614,309 pemegang unit ASB 2 yang memiliki 14.12 bilion unit serta 740,513 pemegang unit ASM dengan pegangan 29.14 bilion unit.
"Walaupun berdepan persekitaran pasaran modal global yang mencabar ekoran ketegangan tarif, inflasi yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi, pengagihan pendapatan bagi ASB 2 sebanyak 5.50 sen seunit dan ASM sebanyak 5.00 sen seunit mencatat peningkatan sebanyak 0.25 sen seunit berbanding tahun lalu," katanya pada Khamis.
Ujar PNB, dana-dana itu juga telah menunjukkan peningkatan progresif sepanjang tiga tahun lalu, mencerminkan komitmen PNB untuk meningkatkan pulangan dan memperkukuh daya tahan portfolio.
"Pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.50 dan 5.00 peratus, kedua-duanya mengatasi penandaaras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.56 peratus sebanyak 294 mata asas untuk ASB 2 dan 244 mata asas untuk ASM," jelas entiti itu.
Menurutnya, prestasi kukuh kedua-dua dana harga tetap tersebut didorong oleh pulangan ekuiti domestik dan global yang positif serta strategi kepelbagaian aset yang berterusan merentasi geografi dan kelas aset.
"Melangkah ke hadapan, PNB akan terus memperluaskan kepelbagaian aset, terutamanya dalam pendapatan tetap, bagi memastikan aliran pendapatan yang stabil dan konsisten," katanya.