KOTA MARUDU - Dua beradik berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda yang dinaiki dihanyutkan arus deras ketika sedang melintas jambatan konkrit di kawasan sungai di Kampung Simpangan di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, dua beradik tersebut berjaya menyelamatkan diri masing-masing dengan keluar dari kenderaan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Hasbi Hajatberkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.07 malam.
Katanya, seramai enam anggotanya dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh sembilan kilometer dari BBP Kota Marudu.
"Menurut laporan, terdapat sebuah kenderaan jenis Toyota Vigo telah dihanyutkan arus deras semasa cuba menyeberang jalan konkrit di sungai.
"Terdapat dua mangsa lelaki dilaporkan terlibat iaitu pemandu terpaksa berpaut pada bumbung kenderaan sebelum berjaya diselamatkan pasukan bomba.
"Abangnya pula, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan, pada awalnya disangka hilang, sempat keluar dari kenderaan tersebut lalu berenang ke tepi sungai," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.24 malam selepas memastikan kedua-duanya selamat dalam kejadian tersebut.