BUTTERWORTH - Bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan darjah kebesaran Negeri Pahang palsu pada Mei 2022.
Ong Chuan Jin, 62, yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Jermal di bawah tiket Perikatan Nasional (PN), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, Chuan Jin didakwa telah mempamerkan gelaran darjah kebesaran Negeri Pahang di bahagian depan dan belakang kad nama miliknya, sedangkan tiada sebarang darjah kebesaran atau pingat yang dianugerahkan kepadanya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kediamannya di Jalan Raja Uda di sini, jam 1 tengah hari pada Mei 2022.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 [Enakmen No. 18 2017] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) enakmen sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 atau penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin menawarkan jaminan RM30,000.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Ong Chian Wen, memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya kini tidak bekerja serta mempunyai tanggungan isteri dan tiga orang anak.
Beliau berkata, anak guamnya telah memberikan kerjasama yang baik ketika polis menjalankan siasatan, selain hadir sendiri ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan, yang secara langsung menunjukkan risiko untuk dia melarikan diri tidak wujud.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 29 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.