MUAR - Bacaan Surah Al-Saff bergema di Masjid Jamek Al- Ehsan Parit Jawa di sini dengan kehadiran lebih 2,000 peserta menyertai program World #QuranHour yang mengangkat tema #SavingTheUmmah.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Syakir Sahimi diikuti bacaan Surah Al-Saff oleh Imam Muhammad Syamil Hanafi Abdul Manan.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Johor, Roziah Kamal berkata, World #QuranHour yang julung kali diadakan di Muar berlangsung dengan penuh semangat.
Menurut beliau, peserta dari luar daerah turut hadir dengan menaiki lima buah bas dari Batu Pahat, Seri Alam dan Johor Bahru.
"Seawal selepas solat Subuh, peserta dari Seri Alam, Pasir Gudang dan Batu Pahat telah memulakan perjalanan mereka menuju lokasi sambutan.
"Dalam perjalanan, mereka tidak melepaskan peluang untuk mengadakan kelas tadabur al-Quran dan sesi mengaji bersama," katanya.
Turut serta Pegawai Daerah Muar, Zainal Eran; Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Johor, Yosree Ikhsan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Selamat Takim dan ADUN Maharani, Abdul Aziz Talib
Dalam pada itu, Penghulu Mukim Parit Jawa, Mohd Afezan Yahya berkata, sebanyak sembilan periuk bubur lambuk disediakan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan.
"Malam tadi (Isnin), kami sudah rewang menyediakan bahan sediakan bubur lambuk istimewa air tangan penduduk Parit Jawa untuk tetamu yang hadir.
"Kerja-kerja memasak bubur lambuk bermula seawal jam 7 pagi dan telah diedarkan kepada semua yang hadir pada program kali ini. Kami amat berbangga Parit Jawa Muar dipilih sebagai lokasi Word#QuranHour 2025," ujarnya.
Sementara itu, Penggerak Rumah Ngaji Batu Pahat, Joharah Kamit berkata, sebanyak tiga buah bas telah disediakan untuk membawa peserta dari bandar Batu Pahat, Parit Raja dan Peserai.
"Kami sudah biasa menyertai program ini setiap tahun, lebih-lebih lagi apabila tiba bulan Ramadan.
"Malah, ada peserta yang sudah bertanya di mana lokasi World #QuranHour tahun depan kerana mereka tidak mahu terlepas peluang untuk turut serta,” ujarnya.