SANTIAGO - Pihak berkuasa Chile sedang berusaha memadamkan 27 kebakaran yang telah memusnahkan kira-kira 7,821 hektar tanah di bahagian selatan negara itu, kata Presidennya, Gabriel Boric pada Isnin, lapor Xinhua.
Beliau berkata kakitangan kerajaan daripada pelbagai agensi telah dikerahkan ke kawasan terjejas bagi membantu masyarakat setempat memadamkan kebakaran.
"Semalam, beberapa kebakaran berlaku di wilayah Biobio dan Araucanía, menyebabkan amaran pemindahan melalui SAE (Sistem Amaran Kecemasan) diaktifkan, dan ketika ini kira-kira 100 orang ditempatkan di pusat perlindungan," katanya pada sidang media.
Boric berkata sebanyak 34 kebakaran di seluruh negara telah berjaya dikawal.
"Kami melalui musim dengan banyak kebakaran... yang sebahagian besarnya berjaya dikawal tepat pada waktunya," tambahnya.
Menurut angka daripada Perbadanan Perhutanan Nasional (Conaf), kebakaran di antara wilayah Biobio dan Araucanía di Chile telah memusnahkan kawasan seluas 7,821 hektar.
Kebakaran terbesar berlaku di Traiguen, dengan kira-kira 2,000 hektar kawasan musnah, diikuti Galvarino (1,136 hektar) dan Padre Las Casas (1,039 hektar). - Bernama