Banjir di Johor, Sabah beransur pulih

Iklan
Mangsa banjir giat membersihkan lantai kawasan rumahnya yang dinaiki banjir besar ketika tinjauan di Blok 22 PPR Desa Mutiara, Bandar Dato Onn - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Seramai 1,991 mangsa banjir masih ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Sabah, berbanding 2,593 orang yang direkodkan malam tadi.

Di Johor situasi banjir di negeri itu semakin baik dengan jumlah mangsa terus menurun kepada 1,853 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,455 semalam dan semuanya ditempatkan di 20 PPS di lima daerah terjejas.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, daerah Johor Bahru kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 680 orang, diikuti Batu Pahat (621), Pontian (410), Kluang (74) dan Kota Tinggi pula 68 orang.

"Dua PPS iaitu Dewan Majlis Perbandaran Kluang, Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kahang di Kluang ditutup malam tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah banjir mulai surut dan keadaan di kawasan kediaman selamat," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, keadaan cuaca di sembilan daerah di Johor diramalkan cerah kecuali Batu Pahat yang dijangka mendung pada pagi ini.

Di Sabah pula, jumlah mangsa banjir kekal 138 orang daripada 41 keluarga di Beaufort dan ditempatkan di PPS Dewan Selangon, pagi ini.

Iklan

Sekretariat JPBN Sabah memaklumkan lapan kampung terjejas banjir di Beaufort. - Bernama