KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia) sebagai usaha menyokong pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan haiwan terancam di negara ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, sumbangan itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar.
"Melalui sumbangan ini saya berharap kita dapat bekerjasama, berkolaborasi dan memikirkan beberapa aktiviti program terutama dengan anak-anak di Lembah Pantai, Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau kawasan sekitar.
"Ini supaya mereka juga lebih cakna dan cenderung untuk memikirkan tentang nasib bumi dan haiwan yang ada dan apa perlu kita lakukan untuk memelihara alam sekitar.
"Insya-ALLAH, saya akan berbincang dengan WWF Malaysia untuk merangka beberapa program dengan anak-anak di sekitar Lembah Pantai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Charms for Change anjuran Touch 'n Go dengan kerjasama WWF Malaysia di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Pengerusi Touch ‘n Go, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad dan Pengerusi WWF Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar.
Mengulas lanjut, Fahmi berharap agar kesedaran masyarakat mengenai isu alam sekitar dapat ditingkatkan.
Menurutnya, ia termasuk berhubung insiden haiwan liar yang sering dilaporkan menjadi mangsa pelanggaran di jalan raya akibat pembangunan tidak lestari.
"Kadang-kadang kita sering mendengar dan membaca berita tentang bagaimana spesies tertentu menjadi mangsa kemalangan atau dilanggar.
"Ini membuktikan bahawa di Malaysia masih banyak tempat di mana hubungan antara manusia dan haiwan ini sangat rapat, cuma kita perlu memikirkan bagaimana ia boleh ditambah baik," ujarnya.
Dalam pada itu, Fahmi turut menzahirkan penghargaan kepada Touch 'n Go yang turut menyumbangkan RM20,000 kepada Pusat Tuisyen Anak Malaysia bagi membantu pelajar golongan B40 mendapatkan akses pendidikan lebih baik.