MESKIPUN berdepan kemelut rumah tangga yang akhirnya membawa kepada titik noktah buat kali keduanya, namun pelakon dan penyanyi, Diana Danielle tidak menjadikan penceraian sebagai alasan untuk memisahkan anak-anak dengan bapa mereka.
Ujar pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu, sebagai ibu, dia tidak mahu menyukarkan keadaan yang sudah cukup mencabar buat dua anaknya.
"Walaupun sudah berpisah, saya tak rela menjaga anak seorang diri. Saya juga tak pernah merancang untuk menyimpan anak-anak hanya untuk diri sendiri atau menyusahkan pihak bekas suami.
"Anak-anak perlukan ibu dan ayah. Jadi, kami cuba memudahkan urusan mereka. Keadaan sudah cukup sukar, jadi jangan kita terus menyukarkan lagi,” ujarnya.
Diana berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Tambah bintang utama Imaginur itu, dia juga tidak menghalang bekas suaminya bertemu dengan anak-anak pada bila-bila masa mengikut kesesuaian waktu.
"Alhamdulillah, anak-anak setakat ini mereka tidak menunjukkan apa-apa keadaan yang membimbangkan sebab tiada sekatan dalam perhubungan, baik dari segi talian mahupun perjumpaan. Bila-bila masa saja boleh bertemu.
"Jadi bila-bila masa sahaja, mereka boleh jumpa dan semoga hubungan ini terus erat demi anak-anak,” tuturnya.
Sementara itu, ditanya mengenai sambutan Aidilfitri, Diana berkata, dia tidak kisah anak-anak pulang ke kampung Farid terlebih dahulu untuk berhari raya.
Ujar Diana, rumah bekas mentuanya di Sungai Petani, Kedah lebih meriah sambutan hari raya berbanding di kediamannya di bandar.
"Alhamdulillah, sekurang-kurangnya keadaan menjadi lebih mudah. Farid pun boleh membawa anak-anak balik kampung.
"Bila status sudah jelas, ia sebenarnya menyenangkan keadaan bagi saya sebagai seorang wanita.
"Anak-anak akan beraya dengan Farid dahulu. Saya tidak kisah mereka beraya di mana dulu kerana suasana di sebelah Farid lebih berkonsepkan kampung, manakala saya pula akan beraya di Kuala Lumpur,” katanya.
Dalam pada itu, Farid ketika ditanya mengenai penjagaan anak-anak, dia berkata perkara tersebut tiada masalah memandangkan segalanya telah dipersetujui pihak Diana.
"Berkaitan anak-anak, tiada masalah kerana seperti yang dipersetujui, pihak ibu akan menjaga anak-anak dan Alhamdulillah sampai sekarang kita tiada apa apa masalah.
"Saya harap perkara tersebut akan berkekalan insya-ALLAH," ujarnya tenang.
Cara baik
Konflik rumah tangga antara Farid Kamil dan Diana Danielle akhirnya menemui titik noktah apabila pasangan selebriti itu disahkan telah bercerai talak satu buat kali kedua pada pagi tadi.
Menerusi prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, Farid Kamil, 43, dan Diana Danielle, 33, sah bercerai talak satu buat kali kedua.
Peguam syarie yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk bercerai secara baik dan lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin.
Farid pula diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Terdahulu, pada 4 November tahun lalu Diana hadir ke mahkamah bagi memfailkan semula permohonan cerai kali kedua terhadap Farid.
Pada 16 Disember 2024, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini memerintahkan pasangan Farid dan Diana melantik wakil JKP susulan keengganan Farid melafazkan cerai terhadap Diana.
Farid melantik peguamnya, Fakhrul Azman sebagai wakil untuk laporan JKP itu.
Sebelum ini, Farid dan Diana berdepan masalah rumah tangga dan mereka bercerai kali pertama melalui Google Meet pada 10 Ogos 2023. Bagaimanapun, mereka sepakat rujuk ketika di dalam tempoh iddah.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkongsian hidup 13 tahun itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Muhammad, 12 dan Nur Aurora, 10.