PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hadir kali keenam bagi memberi keterangan kepada kumpulan penyiasat di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin.
Ahli Parlimen Bera itu tiba pada jam 9.54 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam dan diiringi kenderaan peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seperti kelaziman, bekas Perdana Menteri kesembilan itu membuka cermin kereta dan melambai kepada kumpulan media yang menunggu kehadirannya.
Rakaman percakapan itu diteruskan oleh SPRM selepas kali terakhir pada Rabu lalu.
Sebelum ini, sesi merakam keterangan Ahli Parlimen Bera itu ditangguhkan namun sumber SPRM tidak menyatakan sebab kepada penangguhan berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya.
Ismail Sabri dikaitkan dengan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house hasil serbuan SPRM.