Bantuan penuh makna menjelang Aidilfitri

Iklan
Amizar (kiri, berdiri) menyantuni pasangan suami isteri, Mohd Nor bersama isteri dan anaknya ketika Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri oleh Yayasan Petronas di Dewan Semai Bakti Felda Kemasul pada Ahad.

BENTONG -"Sumbangan ini sangat membantu kami sekeluarga untuk menyambut Aidilfitri nanti."

Demikian kata Mohd Nor Long, 40, dan Nazirah Abdullah, 38, dari Felda Kemasul di sini yang merupakan antara 400 penerima berupa barang makanan asas dan biskut di Pahang bagi Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri oleh Yayasan Petronas di Dewan Semai Bakti Felda Kemasul pada Ahad.

Iklan
Iklan

Pasangan ini mempunyai seorang anak, Mohamad Taufik Firas Mohd Nor, 10, yang menghidap cerebral palsy.

Mohd Nor berkata, persiapan raya tahun ini sederhana sahaja dan yang paling penting segala keperluan untuk anak sudah dibuat.

Iklan

"Buat masa ini, selain perlu berjumpa pakar beberapa kali sebulan, anak saya juga belum dapat bercakap," katanya yang mengakui anaknya adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Pasangan ini ditemui selepas majlis penyerahan yang disampaikan Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.

Iklan

Hadir sama, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.

Bagi suri rumah, Norainun Saniah, 41, dari Felda Chemomoi pula berkata, bantuan itu tepat pada masanya menjelang Aidilfitri.

"Setakat ini, persiapan raya keluarga dibuat secara sederhana, baju raya pun kami pakai yang tahun lepas sahaja.

"Suami tidak dapat bekerja berat selepas lengannya hancur akibat kemalangan dan kini hanya bertugas sebagai siak masjid selain dapat bantuan JKM sebanyak RM350 setiap bulan," kata ibu kepada empat anak itu.

Sementara itu, Amizar menghargai usaha yang dilakukan Yayasan Petronas kepada keluarga asnaf di negeri itu menjelang Aidilfitri dan berharap dapat ditingkatkan pada tahun depan.

"Alhamdulillah pada hari ini Yayasan Petronas telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan mengagihkan bantuan berupa 400 pek perayaan kepada keluarga kurang berkemampuan di Pahang.

"Saya percaya sumbangan berupa barang makanan asas dan kuih muih ini membuktikan komitmen Yayasan Petronas yang amat luar biasa kerana memberi kegembiraan kepada keluarga asnaf menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada pemberita.

Lebih 4,850 keluarga dan 21 rumah kebajikan dari seluruh negara menerima sumbangan pek perayaan itu.

Dalam pada itu, Amizar berkata, terdapat khabar gembira buat warga Felda di seluruh negara termasuk Pahang dalam waktu tersekat ini.

"Kita tidak boleh umumkan sekarang tetapi perkara ini adalah untuk jangka masa panjang dan ada beberapa keputusan dasar melibatkan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

"Apa yang pasti ia akan menggembirakan seluruh warga Felda dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada bila-bila masa dan Pahang bakal menjadi perintis nanti," katanya.