SHAH ALAM - Polis masih mengesan seorang lagi suspek yang bertindak sebagai 'transporter' dalam kejadian samun tujuh dulang barangan kemas bernilai RM2 juta di sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada Sabtu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seorang lagi rakan suspek yang terbabit sudah dikenal pasti dan sedang dikesan.
"Kita masih mengesan seorang lagi rakan suspek yang terbabit sebagai 'transporter'.
"Semakan lanjut juga mendapati suspek berusia 32 tahun yang ditahan tidak memiliki rekod jenayah lampau," katanya ketika dihubungi, pada Ahad.
Pada Ahad, media melaporkan polis menahan seorang lelaki selepas terbabit dalam kejadian samun tersebut.
Hussein dilaporkan berkata, suspek ditahan 10.15 malam di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, dan polis menemukan semula sejumlah barangan kemas yang disamun.
Pada Sabtu, Pusat Kawalan Polis Daerah (DCC) IPD Petaling Jaya telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian samun bersenjata api di kedai emas terbabit pada jam 4.56 petang.
Difahamkan, lelaki berkenaan yang memakai topeng muka serta baju berhud mengacukan pistol ke arah pekerja premis terbabit.
Semasa kejadian terdapat seorang pelanggan dan tiga pekerja di dalam premis.