Gandingan Faisal, Arif Aiman bakal gegar Nepal?

Iklan
Ganding semula Faisal Halim (kanan) dengan Arif Aiman Hanapi menjadi sesuatu yang dinantikan peminat bola sepak tempatan.

KEMBALINYA pemain sayap lincah, Faisal Halim dalam skuad Harimau Malaya menyuntik banyak elemen positif termasuk harapan peminat yang mahu melihat gandingan semula di jentera serangan bersama bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi.

Walaupun mungkin masih terlalu awal untuk Faisal kembali berada dalam kesebelasan utama, namun kelibatnya sudah tentu dinantikan untuk kembali beraksi lincah di posisi sayap kiri dalam jersi Harimau Malaya.

Iklan
Iklan

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, kedua-dua pemain itu sebelum ini telah membuktikan kualiti dimiliki ketika digandingkan dan percaya aura mereka berdua mampu kembali mengangkat skuad negara.

"Peminat memang sentiasa menantikan gandingan mantap dua pemain ini kerana gandingan mereka sebelum ini telah membuktikan sesuatu yang sangat positif.

Iklan

"Jadi kembalinya Faisal ke dalam pasukan ini sudah tentu akan memberikan nilai tambah baik dan lebih banyak pilihan di bahagian serangan.

"Namun, ia juga terpulang kepada barisan jurulatih untuk melihat sama ada dia sudah bersedia untuk kembali bermain di pentas antarabangsa ataupun tidak," katanya kepada Sukan Sinar.

Iklan

Sebelum ini, Faisal menjalani pemulihan panjang akibat menjadi mangsa simbahan asid pada Mei tahun lalu.

Pemain sayap Selangor itu kembali ke padang menyertai rakan sepasukan pada Ogos sebelum menemui sentuhan jaringan menerusi gol hatrik ketika berdepan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 8 Mac lalu.

Persembahan cemerlangnya itu menyaksikan dia telah dipanggil kembali menyertai pasukan negara oleh pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski sejak kali terakhir beraksi pada Januari tahun lalu.

Untuk rekod, kali terakhir Faisal dan Arif Aiman digandingkan bersama ketika aksi menentang Oman pada Mac tahun lalu.

Dalam pada itu, Azlan turut melihat semangat luar biasa dipamerkan Faisal yang tidak berputus asa untuk kembali berada dalam pasukan Harimau Malaya.

"Dia pemain yang berpengalaman dan dia tahu macam mana nak tingkatkan prestasi dia di peringkat antarabangsa," katanya.