Budak 7 tahun didakwa kena pukul, lempang dengan bapa rakan

Iklan
Kanak-kanak lelaki tujuh tahun menangis selepas didakwa dilempang seorang lelaki dewasa dalam kejadian di sebuah sekolah di Jalan Jalan Abdul Rahman. - Foto tular

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun didakwa dipukul dan dilempang dua kali sehingga kepalanya terhantuk di dinding dalam kejadian di sebuah sekolah di Jalan Abdul Rahman Andak di sini pada tengah hari Rabu.

Kejadian itu dipercayai dilakukan seorang lelaki dewasa yang juga merupakan bapa kepada seorang murid di sekolah tersebut.

Jurucakap pusat perlindungan tempat mangsa tinggal menyatakan rasa kesal terhadap insiden yang berlaku di hadapan pemandu pusat perlindungan yang datang untuk menjemput murid-murid dari sekolah tersebut.

Iklan
Iklan

"Kami sangat terkilan dengan insiden yang berlaku ini. Apa pun kenakalan murid, biar pihak sekolah yang uruskan, bukan bapa murid yang memiliki fizikal yang besar dan kuat.

"Kanak-kanak itu kini mengalami lebam dan trauma akibat kejadian itu. Mangsa telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut, dan pihak mereka sedang menunggu laporan perubatan bagi mengenal pasti sama ada terdapat kecederaan dalaman," katanya.

Iklan

Menurut jurucakap itu, laporan polis di Balai Polis Larkin sudah dibuat dan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang agar perkara sebegini tidak berulang.

"Lelaki berkenaan juga ugut mahu belasah mangsa sekiranya mengganggu anaknya lagi.

Iklan

"Saya sudah meminta semua saksi yang melihat mangsa ditampar untuk membuat laporan polis dengan segera," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan pada petang semalam dan kes masih dalam siasatan.

Sebelum itu, tular hantaran Facebook oleh pemilik akaun bernama Herman Sudil berhubung perbuatan didakwa dilakukan lelaki tersebut dan dia turut menyatakan, mangsa merupakan anak yatim sebuah pusat jagaan dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.