GOMBAK – Syarikat Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menganjurkan Jaulah Iftar Rewang bersama pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL), British Malaysian Institute, di sini, pada Rabu.
Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd Jazri Ikmal Hijaz, berkata inisiatif tersebut memberi peluang kepada syarikat untuk mendekati generasi muda serta memperkukuh keyakinan terhadap produk mereka.
"Program ini bukan sekadar untuk berbuka puasa bersama pelajar, tetapi juga sebagai platform memperkenalkan produk kami yang halal dan sesuai untuk pelbagai jenis masakan, termasuk pizza,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis berbuka puasa di UniKL.
Turut hadir pada program itu Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang, Datuk Mohd Roslan Mahayudin
Menurut beliau, Mahsuri Dagang sebelum ini lebih sinonim dengan produk masakan tradisional Melayu. Namun, syarikat ingin membuktikan bahawa produk mereka juga boleh digunakan dalam masakan moden seperti pizza.
"Kami menggunakan sos khas seperti Sos Tiga Rasa, Sos Lada Hitam, Sos Ala Korea yang berasaskan kicap serta bawang putih digunakan untuk menghasilkan tiga jenis pizza iaitu udang, pepperoni dan BBQ,” jelasnya.
Pengukuhan jenama
Mengulas mengenai pemilihan UniKL sebagai lokasi program, Mohd Jazri berkata, ia selaras dengan sasaran syarikat untuk mengukuhkan jenama mereka dalam kalangan pelajar universiti awam.
"Tahun ini, kami banyak mengadakan program di universiti awam sebagai sebahagian daripada projek CSR. Pihak kami faham, keadaan kewangan untuk pelajar Universiti Awam amat terhad, UniKL merupakan salah satu institusi terpilih bagi tahun ini,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa aktiviti rewang ini bukan sahaja mempromosikan produk syarikat, malah memperkukuhkan hubungan dengan masyarakat setempat.
Jelasnya, program ini bertujuan memperkenalkan produk Mahsuri Dagang sebagai produk halal yang berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.
Dari segi penerimaan pasaran, Mahsuri Dagang melihat peningkatan permintaan daripada pelajar universiti serta masyarakat Islam yang semakin yakin dengan status halal produk mereka.
"Kami melihat sambutan positif terhadap produk kami, terutamanya dalam kalangan golongan muda. Ini membuktikan bahawa produk Mahsuri Dagang semakin mendapat tempat di pasaran,” ujarnya.
Produk sesuai permintaan
Menjelaskan mengenai sasaran jangka panjang syarikat, Mohd Jazri berkata, Mahsuri Dagang berhasrat untuk menjadi jenama halal terkemuka di Malaysia sebelum meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.
"Kami menyasarkan untuk menembusi pasaran Timur Tengah serta negara-negara Barat yang mempunyai komuniti Islam yang besar,” katanya.
Pada masa ini, produk Mahsuri Dagang sudah berada di pasar raya utama di Malaysia serta di beberapa negara seperti Brunei, Singapura, dan Indonesia.
"Kami juga sedang berusaha untuk menembusi pasaran kedai runcit kecil di kawasan luar bandar agar lebih ramai pengguna dapat menikmati produk kami,” katanya.
Mengulas mengenai perkembangan produk, beliau berkata syarikat sentiasa menyesuaikan produk mengikut permintaan semasa.
"Sebagai contoh, sos ala Korea kami baru dilancarkan dua tahun lalu setelah melihat trend minat pengguna terhadap masakan ala Korea. Begitu juga dengan sos pedas yang lebih ekstra untuk memenuhi selera pengguna yang gemarkan kepedasan,” jelasnya.
Selain program di UniKL, Mahsuri Dagang juga merancang untuk meneruskan program CSR bersama agensi kerajaan di luar Selangor dalam masa terdekat.
"Kami percaya bahawa sebagai syarikat yang berkembang, kita perlu memberi kembali kepada masyarakat. CSR adalah sebahagian daripada nilai teras kami,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan menghasilkan pizza menggunakan produk Mahsuri Dagang adalah bukti fleksibiliti produk syarikat dalam pelbagai jenis masakan.
"Kami gembira kerana produk kami bukan sahaja sesuai untuk masakan tradisional, tetapi juga boleh digunakan dalam hidangan seperti pizza,” katanya.
REAKSI
"Program Jaulah Iftar Rewang ini dapat merapatkan hubungan silaturahim antara pelajar, pengurusan universiti dan pihak penaja yang sentiasa memberikan sokongan dalam menjayakan program bermanfaat sempena bulan yang mulia ini.” - Nur Najla Azmi,21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan UniKL
"Saya dapat pengalaman baru apabila berpeluang belajar menghasilkan pizza menggunakan produk Mahsuri Dagang dengan kerjasama Roadside Pizza.” - Azamirul Hassan, 23, pelajar Diploma Kejuteraan Eletrik UniKL
"Kemanisan Ramadan dapat dirasai terutama kepada pelajar yang berjauhan dengan keluarga rasa dihargai apabilka disantuni, terima kasih kepada pihak penaja terutama Mahsuri Dagang.” - Nur Emilya Emilda Mohd Zain, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan UniKL
"Program berbuka puasa beramai-ramai memberi peluang kepada kami mengenali antara satu sama lain dan ianya akan menjadi kenangan buat kami.” - Muhammad Hafiz Rodi, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan UniKL