SHAH ALAM - Penggemar setia produk keluaran Karangkraf boleh membeli buku atau al-Quran di reruai Karya Bestari pada harga berpatutan sambil menunggu waktu berbuka puasa di Iftar Ala Madinah@Karangkraf.
Ketua Unit Pemasaran dan Jualan Langsung Karangkraf Mall, Hisham Che Min berkata, inisiatif itu pertama kali dilaksanakan pada tahun ini bertujuan memperkenalkan produk baharu sekali gus merancakkan lagi Iftar Ala Madinah memandangkan Karangkraf Mall ditutup selepas waktu pejabat.
Menurutnya, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati juadah berbuka puasa secara percuma, tetapi juga membeli al-Quran, sirah-sirah Nabi dan buku motivasi sebagai kelengkapan Ramadan.
"Kami memang nak tarik pengunjung untuk singgah ke reruai kami dan beli produk keluaran Karangkraf. Antaranya al-Quran bersaiz besar misalnya Mushaf Al-Kubra A3, Mushaf Waqaf dan Ibtida A4, Andalus B4 serta banyak lagi.
"Selain itu, ada buku terbaharu seperti Ramadan Gaya Rasulullah yang membawa kita menyelami sunnah Nabi Muhammad SAW ketika menjalani Ramadan daripada amalan sahur, solat tarawih hinggalah rahsia keutamaan lailatul qadar,” katanya kepada Sinar Harian.
Hisham turut menambah, orang ramai yang tidak pernah mengunjungi Karangkraf kerana tinggal berjauhan atau berada di luar kawasan Lembah Klang juga boleh membeli al-Quran melalui laman sesawang rasmi Karangkraf Mall.
"Bagi yang belum berkesempatan menyertai program Iftar Ala Madinah boleh beli al-Quran dan produk-produk kami yang lain pada waktu pejabat bermula jam 9 pagi hingga 5.30 petang.
"Kami tutup premis Karangkraf Mall kira-kira 30 minit awal sepanjang Ramadan, tetapi jangan risau kerana kami buka reruai di pekarangan premis Karangkraf sehingga Iftar Ala Madinah selesai jam 8 malam,” jelasnya lagi.
Iftar Ala Madinah @Karangkraf berlangsung dari 3 hingga 27 Mac ini dan terbuka kepada 1,500 tetamu untuk berbuka puasa secara percuma setiap hari kecuali Sabtu, Ahad serta cuti umum.
Berdasarkan sambutan menggalakkan pada tahun-tahun sebelumnya, program itu sekali lagi memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman seperti berbuka puasa di Masjid Nabawi, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama Islam dan masyarakat setempat.
Justeru, orang ramai yang berminat untuk hadir diingatkan supaya mendaftar sebelum jam 2 petang setiap hari melalui imbasan kod respons pantas (QR) di laman web rasmi Iftar.karangkraf.com atau menghubungi sekretariat di talian 019-213 3315.
Selain menikmati juadah berbuka, terdapat beberapa gerai tambahan dengan harga jualan berpatutan yang bakal memeriahkan lagi Iftar Ala Madinah@Karangkraf tahun ini.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, program tersebut membantu penuntut universiti atau kolej berdekatan, golongan memerlukan seperti ibu tunggal serta mereka yang tidak sempat pulang berbuka puasa bersama keluarga di rumah.
Dalam pada itu, sekiranya orang ramai ingin membantu menambah baik kemudahan demi keselesaan, membeli kelengkapan berbuka atau tambahan makanan, boleh menyalurkannya ke Tabung Infaq Iftar menerusi akaun Maybank bernombor 564276529068 (Maybank-Sinar Karangkraf Sdn Bhd).