SHAH ALAM - Keseimbangan antara rawatan profesional dan amalan spiritual merupakan pendekatan holistik yang efektif dalam menangani kesihatan mental serta emosi khususnya bagi umat Islam.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, rawatan profesional seperti terapi psikologi dan ubat-ubatan dapat membantu menangani aspek klinikal masalah mental.
Iklan
Iklan
Menurutnya, contoh amalan spiritual pula adalah solat, doa dan zikir yang dapat memberikan kekuatan dalaman.
"Penting untuk masyarakat meningkatkan literasi kesihatan mental bagi memahami tanda-tanda awal dan mendapatkan bantuan sewajarnya.
"Gabungan kedua-dua pendekatan ini dapat memberikan sokongan menyeluruh kepada individu yang mengalami masalah kesihatan mental,” katanya kepada Sinar Harian.
Fauziah berpandangan, kesedaran dan pemahaman mengenai kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia adalah penting.
"Ia bagi memastikan individu yang terjejas mendapat sokongan dan rawatan diperlukan tanpa diskriminasi atau stigma,” katanya.