SEPANG - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan masuk 45 warga asing yang gagal memenuhi syarat kemasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Selasa.
AKPS dalam kenyataan berkata, operasi pemeriksaan itu dijalankan selama tiga jam bermula 9 pagi.
Katanya, seramai 115 warga asing telah diperiksa sebelum mendapati 45 orang tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.
"Seramai 36 merupakan warga Bangladesh dan sembilan lagi ialah Pakistan.
"Mereka kemudiannya dibawa ke pejabat Unit Pemantauan bagi tujuan siasatan sebelum pihak berkuasa memutuskan mereka tidak dibenarkan mendarat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah kenyataan itu, operasi tersebut dijalankan bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen (ATKPI), Arahan Pentadbiran serta arahan-arahan semasa serta berlangsung dalam keadaan yang terkawal tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.
Tegas AKPS, pihaknya komited dalam memastikan kawalan keselamatan dan pematuhan terhadap peraturan imigresen di KLIA sentiasa dipertingkatkan.