JAWA BARAT – Seorang lelaki sanggup mencederakan diri sendiri menggunakan dahan kayu tajam sebelum membuat laporan palsu mendakwa menjadi mangsa samun bagi menutup kehilangan wang bapanya sebanyak Rp3 juta (RM900) yang dihabiskan untuk judi slot dalam talian dan pinjaman dalam talian.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Tasikmalaya Kota, Iptu Jajang Kurniawan berkata, suspek, RI, 26, mendakwa dia disamun serta ditikam individu tidak dikenali di Jalan Gubernur Sewaka pada 9 Mac lepas.
"Dia mendakwa wang itu sepatutnya digunakan untuk membeli daging di Cikurubuk dan orang tuanya yang percaya terus membuat laporan polis," katanya pada Selasa.
Bagaimanapun, Jajang berkata, siasatan lanjut mendapati terdapat beberapa kejanggalan dalam laporan yang dibuat suspek, termasuk kecederaan yang dialaminya.
"Luka tikaman pada tubuhnya ringan dan pemuda itu enggan menjalani pemeriksaan perubatan dengan alasan pening kepala.
"Selepas disoal siasat, RI akhirnya mengaku mereka-reka kejadian itu dan sengaja mencederakan dirinya sendiri supaya kelihatan seperti mangsa samun," katanya.
Tambahnya, siasatan mendapati suspek mengalami kerugian akibat bermain judi slot dalam talian selain terdesak melunaskan hutang pinjaman dalam talian yang perlu dibayar pada malam kejadian.
"Suspek kini dalam siasatan lanjut pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya.-tvOnenews.com