Ratusan peluncur air sakit akibat buih misteri

Iklan
Buih misteri melanda pantai di Selatan Australia. Foto Agensi

ADELAIDE – Ratusan peluncur air di Selatan Australia mengalami masalah kesihatan selepas terdedah kepada buih laut misteri yang muncul di kawasan pantai di negeri itu.

Fenomena yang dikesan di Pantai Waitpinga dan Parsons berhampiran Adelaide itu turut menyebabkan kematian hidupan laut seperti ikan dan sotong.

Iklan
Iklan

Seorang peluncur tempatan, Anthony Rowland berkata, buih tebal berwarna kuning kehijauan yang berlendir itu menutupi kawasan pantai sehingga mencetuskan kebimbangan.

"Saya sendiri mengalami masalah pernafasan selepas meluncur di kawasan itu.

Iklan

"Rasanya seperti menyedut bahan pencuci kuat, kesannya terkena di bahagian belakang tekak saya,” katanya seperti dilaporkan The Guardian.

Setakat ini, punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti, namun ada pihak mengaitkannya dengan bekas Siklon Tropika Alfred yang melanda pantai timur Australia baru-baru ini.

Iklan

Menurut jurucakap Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA), pihaknya sedang bekerjasama dengan agensi lain untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel air di lokasi kejadian.

"Fenomena ini dipercayai berpunca daripada ledakan mikroalga akibat suhu panas, air yang tenang serta gelombang haba marin berterusan.

"Ketika ini, suhu air laut di kawasan itu meningkat 2.5 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa,” katanya. -Agensi